Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belanjawan 2020 : MTUC mahu elaun COLA pekerja swasta RM500


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun. 

Dalam satu kenyataan hari ini, MTUC berkata cadangan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober itu juga perlu merangkumi program-program mesra rakyat yang dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka yang terpinggir. 

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata cadangan pemberian COLA itu adalah antara saranan yang dikemukakan oleh MTUC kepada kerajaan pada 26 Ogos lalu untuk dipertimbangkan dalam penggubalan belanjawan tersebut. 

Malah, katanya, pemberian COLA itu juga tidak boleh ditangguhkan lagi berikutan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.

Ia juga sejajar hasil kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang mendapati Malaysia menggunakan kaedah lapuk menetapkan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang juga antara faktor utama digunakan oleh kerajaan bagi penetapan kadar gaji minimum pekerja.

“Kerajaan harus menerima hakikat bahawa rakyat kelas pertengahan dan berpendapatan rendah tidak lagi berupaya menyara diri dan hidup dalam serba kekurangan

“MTUC bukannya mendesak kenaikan gaji bersih tetapi mahukan pendapatan yang dapat menampung kos sara hidup pekerja. Kajian PBB menunjukkan kadar kemiskinan sebenarnya adalah antara 15 peratus sehingga 20 peratus dan ini berkait secara langsung dengan upah rendah pekerja,” katanya.

Solomon berkata majikan juga tiada alasan untuk menangguhkan pemberian COLA untuk pekerja memandangkan mereka “bertahun-tahun memperkayakan (syarikat) hasil pelaksanaan PLI yang tidak betul sehingga menyebabkan pengagihan pendapatan yang amat tidak seimbang.” 

Selain itu, Solomon berkata had umur persaraan juga harus dinaikkan kerana gaji rendah itu menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang dengan mengambil kira purata jangka hayat rakyat negara ini yang dijangka meningkat kepada 80 tahun.

Ia juga bagi memastikan pekerja memiliki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi dan mengelak mereka terlalu bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan bagi tujuan sara diri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel