Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemilik 'Raw Denim House' Tokoh Maal Hijrah Terengganu bagi orang kurang upaya


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





KUALA TERENGGANU, 1 Sept -- Kejayaan Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin dalam pembuatan seluar jeans dan memasarkannya hingga ke peringkat antarabangsa melayakkan beliau menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya pada majlis sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Pemilik jenama pakaian yang dikenali 'Raw Denim House' (RDH) itu menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Safuan Nizam yang mengalami masalah penglihatan pada mata sebelah kanan itu memulakan perniagaan di Jerteh, Besut pada tahun 2011 bersama abang dan seorang sahabat baiknya.

"Alhamdulillah, sehingga kini banyak tempahan telah diterima daripada pelanggan bukan sahaja dari dalam negara tetapi dari seluruh dunia seperti Jerman, Amerika Syarikat, Australia dan Switzerland.

"Anugerah ini memberi suntikan semangat untuk saya terus fokus berkarya dalam bidang ini agar RDH menjadi satu jenama terkenal di peringkat global dan mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada anak tempatan," katanya kepada pemberita hari ini.

Terbaharu, syarikatnya akan melancarkan laman web sendiri dan bekerjasama dengan sebuah platform perniagaan dalam talian untuk memasarkan produk RDH secara lebih sistematik.

Beliau yang memiliki Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Kolej Universiti TATI berkata pada tahun ini, RDH turut menerima pembiayaan dari Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu sebanyak RM200,000 untuk operasi kilang baharu syarikatnya di Jertih.

Ketika ini, beliau turut bergerak aktif sebagai penceramah dalam program keusahawanan yang melibatkan golongan belia di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M dan membawa pulang wang tunai RM10,000; pakej mengerjakan umrah bernilai RM10,000; persalinan bernilai RM500, piala dan sijil penghargaan.

Anugerah itu juga disampaikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain itu antara penerima anugerah sempena dengan sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat negeri adalah Yang Dipertua Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu Dr Mohd Hamdan Mohamed yang menerima Anugerah Tokoh Dakwah; Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin di Kertih (Anugerah Masjid dan Surau Terbaik bagi Kategori Masjid Kerajaan Terbaik) dan Surau al-Hijrah, Kampung Hulu Takir di Hulu Nerus (Anugerah Masjid dan Surau Terbaik bagi Kategori Surau Terbaik). 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel