Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sambutan Maal Hijrah 1441H bawa mesej negara maju tetapi masih pentingkan perpaduan


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Dengan tema ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’, sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M tahun ini membawa mesej kepada usaha menjadikan Malaysia negara maju tetapi dalam masa yang sama soal perpaduan dan penyatuan masih diberi keutamaan.  

Sambutan yang bermula sejak malam tadi dengan bacaan doa akhir tahun 1440 Hijrah dan doa awal tahun 1441 Hijrah, sambutan tahun baharu Hijrah mempunyai pengertian amat besar bagi umat Islam dalam mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.

Di PUTRAJAYA, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Kira-kira 3,000 hadirin menyertai majlis sambutan berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Pada majlis itu, Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh diumum sebagai Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 2019 manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah kebangsaan 2019.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Turut berangkat ke majlis tersebut Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri Datin Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Pada majlis tersebut Sultan Mizan berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat negeri kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi menerima hadiah wang tunai RM10,000, tajaan umrah bernilai RM10,000, hadiah persalinan RM500, piala dan sijil penghargaan.

Di PAHANG, sambutan Maal Hijrah berlangsung dalam suasana sederhana di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, dengan disertai lebih 1,000 umat Islam. 

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan merasmikan sambutan itu dan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang 2019 kepada lima penerima.

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman. 

Pada majlis itu, alunan selawat oleh hadirin dengan dipimpin Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Kesihatan dan Pendidikan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad turut bergema di Auditorium Darul Makmur. 

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan peringkat negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina di Meru, Ipoh.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah yang menerima wang tunai RM10,000, medal, plak dan sijil serta hadiah iringan pakej umrah bernilai RM7,000. 

Sementara itu, Anugerah Khas Ar-Ridzuan diberikan kepada Pengerusi Tetap Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Datuk Dr Abu Bakar Shaari yang menerima wang tunai RM10,000, plak dan sijil serta turut menerima hadiah iringan pakej umrah bernilai RM7,000.

Bagi Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik ia dimenangi Masjid Jamek Pengkalan Hulu, manakala Anugerah Pengurusan Perkuburan Islam Terbaik diberikan kepada Tanah Perkuburan Pekan Kecil, Tapah.

Di KEDAH, sambutan yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar dirasmikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir juga hadir pada sambutan peringkat negeri itu.

Imam Masjid Kampung Pokok Asam, Sungai Petani Abdullah Yahaya terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Tahun 1441/2019 peringkat negeri Kedah dan menerima wang tunai sebanyak RM15,000, hadiah iringan serta sijil penghargaan.

  -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel