Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia mahu jadi model martabatkan budaya keamanan, kedamaian - Mujahid


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





PUTRAJAYA, 1 Sept -- Malaysia mahu menjadi model kepada seluruh dunia khususnya negara Islam dalam memartabatkan budaya keamanan dan kedamaian di sebalik pelbagai konflik serta  sengketa agama di dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu pemberita, Malaysia ingin menunjukkan masyarakatnya hidup dalam keadaan aman dan damai melalui dasar Rahmatan lil Alamin yang diperkenalkan kerajaan berdasarkan prinsip dan teras syariat Islam dalam sebuah negara berbilang kaum serta agama. 

"Kerajaan mahu menjadikan prinsip ini sebagai dasar penting  untuk memastikan tiada kebencian atau permusuhan yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu hari ini yang akan meruntuhkan segala yang telah kita bina untuk Malaysia yang aman sentosa," katanya selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini. 

Mujahid ketika berucap pada majlis  berkenaan berkata umat Islam di Malaysia perlu mengambil peluang  ketibaan  awal Muharram untuk membuka lembaran baharu dalam usaha  meneruskan agenda Malaysia Baharu. 

"Sesungguhnya tunjang kesepaduan yang utuh dalam masyarakat mampu menjamin kesejahteraan dan keselamatan serta kedaulatan negara," katanya.

Jelas beliau tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu  ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ dilihat begitu signifikan kerana Islam itu sendiri sifatnya rahmat. 

“Sudah tentu  dalam usaha kita membina negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia ini pendekatan yang harmoni dan aman perlu diimplementasi,” katanya. 

Jelas Mujahid, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis hari ini  menzahirkan keprihatinan Seri Paduka  berdua atas usaha kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam di bumi Malaysia. 

Majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan kali ini dihadiri lebih 3,000 orang. 

Pada majlis hari ini bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Prof Datuk Seri Ir Zaini Ujang dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1441H/2019M atas sumbangannya kepada kelestarian alam sekitar. 

Selain itu, Presiden Forum Memperkasakan Keamanan Emiriah Arab Bersatu Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh menjadi penerima anugerah Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H/2019M atas perjuangannya untuk melihat dunia yang lebih aman. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel