Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TEKUN Nasional salur RM5.5 bilion pembiayaan perniagaan kepada usahawan OKU, bekas banduan


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





SERDANG, 1 Sept (Bernama) -- Seramai 432,959 usahawan tempatan, termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bekas banduan, telah menerima manfaat pembiayaan perniagaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dengan nilai keseluruhan RM5.5 bilion, sejak penubuhannya hingga Julai lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata daripada jumlah tersebut, TEKUN Nasional yang ditubuhkan pada 1998 telah mengagihkan sebanyak RM6.3 juta kepada 565 usahawan OKU, dan RM494,500 kepada 34 usahawan yang merupakan bekas banduan.

"Bagi menyahut saranan kerajaan yang sangat prihatin kepada keperluan golongan OKU, TEKUN Nasional memperuntukkan RM3 juta bagi pembiayaan kepada golongan OKU tahun ini dan sehingga kini, RM348,000 disalurkan kepada 26 orang usahawan OKU.

“ TEKUN Nasional turut mengadakan program bersama Jabatan Penjara Malaysia dengan peruntukan RM2 juta pada tahun ini, bagi membantu golongan bekas banduan memulakan kehidupan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pembiayaan TEKUN Nasional sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mohd Hatta menyerahkan Surat Tawaran Pembiayaan TEKUN Nasional kepada 46 usahawan, termasuk tiga OKU dan seorang bekas banduan.

"Ini menunjukkan kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited dalam membantu usahawan khususnya Melayu dan Bumiputera," katanya.

MUN 2019 merupakan platform penganjuran pelbagai program dan aktiviti berteraskan keusahawanan seperti Konvensyen Usahawan Wanita, Malaysia Kitchen yang melibatkan lebih 50 gerai jualan, dan forum keusahawanan industri kreatif dan digital.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel