MyGift dijenamakan semula sebagai Yayasan UMP
Tarikh kemaskini: 02/09/2019

KUANTAN, 2 Sept (Bernama) -- Tabung kebajikan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) MyGift akan dijenamakan semula sebagai Yayasan UMP bermula tahun hadapan, kata Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin.
Katanya penjenamaan itu bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih efisien sekali gus memperkemaskan operasi yang membolehkan lebih ramai mahasiswa kurang berkemampuan dibantu.
"Sumber kewangan yayasan datang daripada tiga sumber iaitu keuntungan syarikat milik universiti, rakan kongsi UMP dan sumbangan syarikat korporat, bekas pelajar serta orang ramai.
"Kita memerlukan sekurang-kurangnya RM7.5 juta setahun untuk bantuan mahasiswa kurang berkemampuan meliputi kos pelajaran, makanan, perubatan dan keperluan lain," katanya.
Md Sharif ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Insentif Pendidikan kepada 69 mahasiswa baharu kurang berkemampuan di UMP Kampus Gambang di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMP Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengurus Serambi Ilmu Yayasan Bank Rakyat Zatul Hassanah Mohamed Radzhuan.
Seramai 17 mahasiswa terpilih menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan UMP yang diberikan kepada pelajar kategori B40 manakala 31 mahasiswa menerima Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat.
Selain itu, 21 mahasiswa pula menerima Insentif Kecemerlangan Matrikulasi-UMP kerana keputusan cemerlang matrikulasi dan memilih UMP untuk meneruskan pengajian, melibatkan pemberian wang tunai RM1,000 setiap seorang.
Seorang penerima Muhamad Alif Rozaimi Md Rasid, 23, berterima kasih di atas keprihatinan UMP kerana meringankan beban kewangannya selepas ditawarkan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Sains Komputer.
Muhamad Alif yang mengidap penyakit tulang belakang bengkok atau ‘scoliosis’ berkata dengan bantuan berkenaan beliau dapat membantu ibunya yang kini bekerja keras menampung kehidupan mereka selepas penceraian kedua ibu-bapanya.
"Wang ini akan digunakan sebaik mungkin kerana kursus saya memerlukan belanja yang agak besar dalam tugasan dan barangan keperluan. Jika boleh, saya tidak mahu menyusahkan ibu yang hanya bekerja sebagai pembantu kantin," katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.
-- BERNAMA
|