Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ops bersepadu padam kebakaran 16 hektar hutan di Gelang Patah dihentikan


Tarikh kemaskini: 02/09/2019





ISKANDAR PUTERI, 2 Sept (Bernama) -- Operasi bersepadu bagi memadam kebakaran 16 hektar hutan di Jalan Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, yang terbakar sejak 21 Ogos lepas dihentikan mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata, keputusan itu diambil susulan daripada status pemadaman kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, yang kini sudah mencapai 99 peratus.

Katanya, penghargaan harus diberikan kepada JBPM, agensi, sukarelawan, serta orang ramai yang bertungkus lumus memadam kebakaran semenjak hari pertama operasi dilancarkan.

Bagaimanapun, menurutnya rondaan dan pemantauan akan terus dilakukan JBPM dan pihak berkuasa yang lain di sekitar kawasan berkenaan, bagi membendung sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar juga telah mengambil langkah proaktif, dengan menempatkan alat pemantau kualiti udara ‘Mobile Enviromental Dust Monitoring’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang.

“Langkah ini dapat memberi manfaat secara langsung kepada sekolah setempat (termasuk SK Tanjung Adang bersebelahan SMK Tanjung Adang), untuk memantau kualiti udara secara terus, memandangkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah bermula 4 Sept,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di Dewanraya Tanjung Adang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Menurut Tan, alat pemantauan kualiti udara itu akan diletakkan di SMK Tanjung Adang sehingga peperiksaan UPSR di sekolah berdekatan tamat.

Sementara itu, Yahaya berkata beliau tidak menolak kemungkinan insiden sama berulang di kawasan berkenaan, berdasarkan faktor cuaca panas dan sekiranya berlaku aktiviti pembakaran terbuka melibatkan penduduk sekitar.

“Kawasan sekitar ini juga banyak semak samun yang kering. Saya nasihatkan orang ramai termasuk penduduk di sini supaya, sekiranya terlihat kebakaran terus bertindak, jangan tunggu sehingga bomba tiba.

“Harap insiden ini juga dapat menjadi pengajaran kepada penduduk, walaupun bakar sampah di belakang rumah, tetapi bara api itu boleh dibawa angin,” katanya.     

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel