Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LZNK peruntuk lebih RM700,000 bantu mangsa ribut di Kedah


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





ALOR SETAR, 4 Sept -- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan RM728,700 bagi membantu 2,428 mangsa yang terjejas akibat ribut kerana tempias Taufan Lekima yang berlaku pada 9 Ogos lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata bantuan wang tunai RM300 secara 'one-off' itu diberikan kepada mangsa berkenaan selepas mendapat pengesahan daripada pejabat daerah masing-masing.

Beliau berkata, bantuan itu hasil kesepakatan penyelarasan secara berpusat daripada Pejabat Daerah selepas bancian dan siasatan dilakukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Penghulu.

"Setakat ini, kita nak maklumkan bahawa tiada lagi bantuan kedua diberikan kerana bancian dan proses siasatan sudah dijalankan dan dikukuhkan lagi dengan laporan polis yang dibuat dalam tempoh masa yang diberikan.

"Kita tak akan buka lagi kerana bimbang individu akan mengambil kesempatan daripada sekeping atap yang diterbangkan, mereka sanggup cabut dua tiga keping atap lagi semata-mata mahu mendapat bantuan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Muafakat Bubur Asyura Saudara Baru di sini, hari ini.

Seramai 80 saudara baru hadir menyertai gotong-royong menyediakan bubur asyura sempena menyambut bulan Muharam pada program itu.

Syeikh Zakaria turut meminta agar mangsa ribut bersabar kerana kerajaan sedang berusaha untuk membaik pulih rumah yang rosak walaupun ada mangsa belum mendapat bantuan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai terutama golongan asnaf tidak mudah terpedaya dengan individu yang mengaku kakitangan LZNK apabila menggunakan nama lembaga zakat itu kononnya untuk memberikan pelbagai bantuan yang disediakan lembaga zakat itu.

"Kita sedar perkara ini dan kita menerima aduan pertanyaan yang mengaku dari pejabat zakat yang meminta orang ramai mengisi borang bantuan menerusi aplikasi WhatsApp, saya nak maklumkan di sini bahawa kita tak sediakan borang dalam WhatsApp.

"Borang hanya boleh diperoleh daripada penolong amil di masjid seluruh negeri yang mempunyai kepala surat, logo dan nombor siri, jika lihat borang terlalu ringkas, itu maknanya bukan dari kami," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel