Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Terengganu kesan dua premis salah guna logo SPHM


Tarikh kemaskini: 04/09/2019




KUALA TERENGGANU, 4 Sept -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesan dua kes penyalahgunaan logo Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam dua serbuan berasingan di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kita berkata dua kes itu melibatkan sebuah premis makanan dan sebuah premis produk kecantikan.

"Serbuan dilakukan adalah hasil aduan daripada orang awam dan siasatan mendapati dua premis itu tidak pernah membuat permohonan untuk mendapatkan SPHM.

"Pemilik dua premis itu telah dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM400 setiap seorang dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program kesedaran halal kepada 200 penjawat awam (Diskusi Halal: Isu & Cabaran Industri Halal) di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.

Saharuddin turut mengingatkan peniaga di Terengganu agar tidak menyalahgunakan logo halal sekiranya tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau JHEAT semata-semata hendak melariskan perniagaan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

"Walaupun peniaga Islam, mereka tidak boleh berbuat demikian kecuali sudah disahkan sebagai premis yang memiliki SPHM. Sekiranya sijil itu sudah tamat tempoh sekalipun dan proses memperbaharui sijil sedang dilakukan, mereka tidak lagi dibenarkan mempamerkan logo halal kerana ia adalah satu kesalahan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata program 'Food Bank' yang dimulakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan diperluaskan ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada awal bulan depan.

"Alhamdulillah, program yang dikawal selia oleh KPDNHEP ini terus mendapat sambutan memberangsangkan dari banyak pihak. Terbaharu dua hotel turut bekerjasama dalam program ini iaitu PB Hotel dan Duyong Marina Resort.

"Program Food Bank di UMT nanti akan menerima sumbangan besar daripada Pasaraya Sabasun untuk membantu pelajar yang memerlukan. KPDNHEP berharap lebih banyak pihak tampil untuk menjayakan program ini di universiti lain dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel