Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Impian pemuda OKU sambung pengajian di USM tercapai


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





GEORGE TOWN, 4 September  -- Impian seorang pemuda berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menyambung pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi kenyataan apabila ditawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di sini.

Oi Chin Xiang, 21 berkata beliau tidak sangka USM menerima permohonannya untuk menyambung pengajian di situ walaupun menghidap penyakit atrofi otot tulang belakang tahap dua yang mengehadkan pergerakannya.

"USM memang universiti impian saya… Saya sudah tahu keupayaan USM sebagai universiti mesra OKU.  Saya tidak sangka diterima di sini memandangkan masalah fizikal yang dihadapi.

"Saya hanya bergerak menggunakan kerusi roda dan akan dibantu ibu sepanjang pengajian," katanya semasa ditemui di Majlis Sambutan Siswa Lestari Sidang Akademik USM 2019/2020 yang dirasmikan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail hari ini.

Chin Xiang juga merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)  2018 Pulau Pinang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.92.

Dalam pada itu ibunya, Ooi Gaik Kei berterima kasih kepada USM kerana mewujudkan prasarana mesra OKU untuk memudahkan pergerakan golongan berkenaan, selain menyediakan sebuah kediaman dalam kawasan kampus untuk beliau bagi menguruskan keperluan seharian Chin Xiang.

Sementara itu, dua pasangan kembar, Dhika dan Dhifa Marzuki, 21, dan Siti Ainiee dan Siti Aishah Mohd Sakri, 20, menjadi perhatian rakan-rakan sekampus mereka sejak mendaftarkan diri di USM minggu lepas.

Dhika yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan di universiti bersama-sama kembarnya itu berkata memang ramai akan terkeliru dengan identiti mereka berdua.

“Memang sukar membezakan saya dan adik berikutan wajah seiras serta gemar memakai pakaian yang sama sejak kecil namun yang membezakan kami ialah saya mempunyai tahi lalat di pipi. Kami juga sudah biasa dengan situasi ini," katanya kepada pemberita.

Seramai 2,943 daripada 4,126 penuntut baru USM menghadiri majlis itu yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra universiti berkenaan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel