Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang wujud Jabatan Wanita Negeri


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





TEMERLOH, 4 Sept  -- Kerajaan negeri Pahang mewujudkan Jabatan Wanita Negeri bagi merancakkan dan membantu aspek pembangunan kaum Hawa khususnya di kawasan luar bandar. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata secara dasarnya jabatan itu melibatkan 11 perjawatan dan akan bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuhkan iaitu Majlis Wanita Negeri Pahang. 

Majlis Wanita itu akan dipengerusikan wanita tunggal dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang iaitu Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga. 

"Kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan geran tahunan kepada Majlis Wanita sebanyak RM140,000 kepada 14 kawasan Parliman di seluruh negeri yang membolehkan setiap kawasan menjalankan aktiviti sendiri. 

"Ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang termasuk memberi peluang sama rata kepada golongan ini untuk sama-sama membangunkan negeri," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita peringkat Pahang di Dewan Dato' Zaharuddin Kassim di sini hari ini, yang turut dihadiri Shahaniza dan kira-kira 1,000 wanita dari seluruh negeri. 

Rakyat Pahang, juga menurut Wan Rosdy amat bertuah kerana mempunyai ikon wanita terulung negara iaitu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Tengku Ampuan Pahang. 

"Rakyat Pahang sudah pasti tidak dapat melupakan bagaimana setiap kali musim tengkujuh, Seri Paduka tidak pernah jemu berkenan mencemar duli mencurah tenaga dan turun padang untuk memasak kepada mereka yang diuji dengan bencana itu. 

"Baginda memang terkenal dengan bakat memasak dan menariknya di Pahang, air tangan baginda sering dikongsi dengan rakyat jelata," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel