Mayat tidak dikenali ditemui terapung dalam sungai di Pasir Puteh
Tarikh kemaskini: 05/09/2019

PASIR PUTEH, 5 Sept -- Mayat seorang lelaki yang sudah membengkak ditemui terapung, dalam sungai di Kampung Puyu, Semerak di sini, petang semalam.
Mayat yang tidak dikenali itu dipercayai berumur antara 20-30 tahun itu, tidak berbaju dan hanya berseluar pendek, dijumpai dalam keadaan kesan terbakar berhampiran jambatan sungai itu, pada pukul 3 petang.
“Kawasan mayat itu ditemui agak sunyi dan hanya beberapa meter dari ladang kelapa sawit,” kata seorang penduduk Mohamad Zainun Hassan, 60, ketika ditemui di tempat kejadian.
Berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak, lelaki berkenaan dipercayai meninggal dunia beberapa hari lepas.
Mohamad Zainun berkata, mayat berkenaan dipercayai orang luar, kerana tiada yang mengenalinya.
Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Azmir Damiri mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.
-- BERNAMA
|