Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PDRM jalankan siasatan penuh berhubung kematian komando


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





GERIK, 5 Sept  -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah, semalam. 

Menyifatkan insiden itu sebagai malang tidak berbau, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Saya yakin ada prosedur operasi standard (SOP) dan kemungkinan bukannya terlepas pandang. Ia (pertunjukan) telah diatur seeloknya namun ia (kemalangan) tetap berlaku," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak 2019 di sini, hari ini.

Seramai 300 pesara dan 200 pegawai berkhidmat dalam PDRM menerima pingat masing-masing bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

Abdul Hamid berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga Allahyarham tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa fakta dan pada masa sama meminta orang ramai agar tidak melontarkan komen-komen berunsur penghinaan sehingga melanggar undang-undang.

"Pesuruhjaya Polis Sabah akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkembangan kes)," katanya sambil menambah pasukan khas PDRM sentiasa memantau media sosial dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bulan lepas. 

Selain itu, beliau berkata PDRM sedang mendapatkan khidmat pakar bagi menentukan hala tuju siasatan dan mengenal pasti sama ada terdapat pihak mensabotaj kejadian itu seperti didakwa atau berpunca daripada masalah di luar kawalan manusia.

"Proses ini mengambil masa disebabkan banyak isu teknikal yang pihak kami tiada kepakaran dan siasatan masih berjalan," katanya.

Polis setakat ini telah mengambil keterangan 12 individu terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung gangguan berkenaan yang mula dikesan pada 21 Ogos.

Gangguan selama tiga hari itu menyebabkan kegagalan fungsi beberapa sistem seperti sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk, sistem pengendalian bagasi dan sambungan WiFi.

Susulan itu, MAHB membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel