Lima wilayah di Kedah bakal dilengkapi meter sukat NRW lebih tepat
Tarikh kemaskini: 05/09/2019
ALOR SETAR, 5 Sept -- Sebanyak lima wilayah di Kedah bakal dilengkapi dengan meter yang berfungsi untuk menyukat bacaan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dengan lebih tepat menerusi program Non Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Kedah.
Tanpa menyatakan wilayah itu secara terperinci, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf berkata melalui program itu meter itu akan dipasang di kawasan yang strategik.
"Sebelum ini, tidak ada kaedah tepat yang boleh menyukat berapa kerugian akibat NRW. Apabila meter itu dipasang di lima wilayah tanah besar Kedah, kita akan kenalpasti kehilangan itu sama ada dari paip bocor, bacaan meter tidak tepat atau berlaku kecurian air.
"Buat masa ini Kerajaan Persekutuan dalam proses akhir untuk melantik kontraktor bagi melaksanakan program itu. Sebelum ini, jumlah NRW adalah sebanyak 49 peratus dan dari Disember 2018 hingga Ogos lepas ia berjaya turun kepada 44 peratus dan berharap ia akan dapat diturunkan lagi melalui program itu," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mukhriz Tun Dr Mahathir merasmikan program Rakan Air Darul Aman dan Together SADA (Syarikat Air Darul Aman) 2019 yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SADA Mohd Suhaimi Mohd Jusoh.
Dalam pada itu, Zamri berkata, Kerajaan Negeri bersama SADA telah memperkenalkan Rakan Air Darul Aman iaitu sebuah platform yang melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi memudahkan penyampaian maklumat dan aduan-aduan berkaitan bekalan air.
"Seramai1,050 MPKK yang dilantik ini akan bertindak sebagai medium perantara di antara kerajaan negeri, SADA dengan masyarakat. Segala permasalahan atau aduan yang diterima di kawasan masing-masing akan disampaikan terus kepada pihak SADA untuk tindakan segera.
"Turut dilancarkan ialah aplikasi mudah alih 'mySADA' yang memudahkan pengguna untuk membuat aduan serta mendapatkan informasi terkini berhubung masalah bekalan air di negeri Kedah dengan lebih mudah dan pantas," katanya.
Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menambahbaik sistem bekalan air di Kedah selain berharap masyarakat dapat mewujudkan budaya yang prihatin berhubung masalah bekalan air yang berlaku di negeri ini.
"Kita minta masyarakat laporkan masalah bekalan air seperti kebocoran bekalan air atau kes kecurian air kerana kes seperti ini akan merugikan Kerajaan Negeri dan SADA di samping ia menyebabkan masalah gangguan bekalan air seperti tekanan rendah hingga menyebabkan bekalan air kepada pengguna terputus," katanya
-- BERNAMA
|