Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rasuah beransur-ansur kurang jika kepimpinan teras bersih - Saifuddin


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





KUALA LUMPUR, 5 Sept  -- Rasuah secara beransur-ansur boleh berkurangan apabila kepimpinan teras sesebuah negara bersih, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata bahawa kepimpinan melalui teladan di kalangan pegawai tertinggi kerajaan adalah penting dalam usaha membina sebuah negara yang rakyat tidak mengamalkan budaya rasuah.

“Pepatah menyatakan “ikan akan membusuk bermula dari kepalanya” yang bermaksud baik buruknya sesebuah organisasi itu bergantung kepada orang yang mengepalainya. Pemimpin mesti komited kepada integriti dan mewujudkan akauntabiliti dan anti-rasuah, " katanya ketika menyampaikan ucaptama penutupan Forum Anti Rasuah Malaysia bertemakan Memahami dan Mengatasi Masalah Terbesar Dunia di sini, hari ini.

Beliau berkata data baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana rasuah dari 2014 hingga Jun 2019 adalah penjawat awam dan ini sangat membimbangkan.

Saifuddin juga berkata kajian yang dijalankan oleh SPRM juga mendapati bahawa 22.1 peratus daripada  responden dari perkhidmatan awam berkata mereka sanggup menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa atau kedudukan.

"Ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan segera bagi kerajaan untuk menggerakan usaha membanteras rasuah," katanya.

Bagaimanapun, perjuangan memerangi rasuah tidak dapat dilancarkan melalui dasar-dasar, kempen, undang-undang dan langkah-langkah punitif yang dikenakan oleh kerajaan sahaja tetapi mesti melibatkan setiap anggota masyarakat.

"Saya menggesa anda semua untuk terus mempertanggungjawabkan kami. Sentiasa berwaspada dan tidak mudah termakan amalan rasuah. Melaporkan apa-apa perbuatan rasuah kepada SPRM tanpa mengira siapa yang melakukannya," katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan tegas dalam komitmennya untuk memerangi rasuah dengan pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dan SPRM untuk menghapuskan rasuah di negara ini.

Beliau berkata usaha itu, katanya telah mula menampakkan hasil apabila Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam “Transparency International's Corruption Perception Index, Reporters Without Borders’ World Press Freedom Index” dan melonjak sembilan kedudukan ke tempat ke-15 daripada 190 negara dalam World Bank’s Doing Business 2019 Report.

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang mencerminkan aspirasi rakyat untuk mewujudkan negara bebas rasuah yang memupuk ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Forum Anti-Rasuah Malaysia adalah platform untuk mengumpulkan semua warga Malaysia, pihak berkuasa kerajaan, media dan sektor swasta untuk berbincang, bertukar idea dan merumuskan cadangan utama untuk dikemukakan kepada SPRM.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel