Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jho Low adalah tuan boneka - bekas pegawai khas Najib


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





KUALA LUMPUR, 5 Sept -- Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dianggap sebagai tuan boneka kerana dia boleh memanipulasi sesiapa sahaja, tanpa mengira status untuk mendapatkan apa sahaja yang dikehendakinya.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dari perspektif beliau, Jho Low mampu mendapatkan pelbagai orang di tempat berbeza-beza bagi memperoleh apa yang dia mahu.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas oleh ketua peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelima perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung kes 1MDB.

“Dalam cara yang amat menggalakkan, dia mampu meletakkan orang, bertemu orang dan membujuk orang dalam pelbagai kedudukan, sama ada dari kedudukan tinggi, sederhana atau rendah, membabitkan individu dan pertubuhan tempatan dan antarabangsa, agar dia akan dapat apa yang dimahukannya.

"Sehinggakan, pada kebanyakan masa, kita tidak tahu siapa mereka ini tetapi semuanya menuju arah yang sama,” katanya dan menambah ia umpama satu anologi bola sepak dengan menyebut bahawa Jho Low adalah seperti seseorang yang mengenali pengadil, pengurus kedua-dua pasukan dan malahan hingga kepada orang yang membina stadium itu, dan boleh mengubah keputusan sesuatu permainan mengikut sesuka hatinya.

Saksi kemudian bersetuju kepada satu cadangan oleh Muhammad Shafee bahawa Jho Low adalah tuan boneka.

Amhari Efendi memberi contoh lawatan beliau ke China di mana dia tidak mengetahui hujung atau pangkal lawatan beliau ke sana. 

“Apabila saya tiba di negara itu, semua agenda telah ditetapkan dan jika saya tidak bersetuju dengan sesuatu, akan ada yang lain di sana mengingatkan saya untuk meneruskan dengan agenda itu,” tambahnya.

Pada Rabu, Amhari  Efendi memberi keterangan bahawa Najib mengarahkan dia untuk pergi ke China berseorangan bagi mengesahkan bahawa terdapat satu perjanjian bagi mengukuhkan persahabatan dan perdagangan dua hala yang mana Jho Low yang mengaturkan lawatan itu.

Saksi kelapan pendakwaan juga bersetuju dengan satu cadangan oleh Muhammad Shafee bahawa Jho Low begitu yakin bahawa dia “boleh menjual ais ke Eskimo”.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu di mana Jho Low mendapat ijazahnya? 

Amhari Efendi: Jika saya tidak silap dari Wharton (School of the University of Pennsylvania).

Muhammad Shafee: Dia juga belajar di sebuah sekolah awam di England. Harrow School. Winston Churchill belajar di sana.

Amhar Efendi: Saya tidak tahu itu. Sekarang baru saya tahu. 

Muhammad Shafee: Jadi dia mendapat pendidikan yang kukuh. Dia pandai bercakap. Kelebihan dia ialah mampu menyakinkan orang. 

Amhari Efendi: Ya. 

Muhammad Shafee: Dalam analogi ibarat dia boleh menjual ais ke Eskimo.

Amhari Efendi: Sangat mungkin. 

Saksi itu berkata, dia menyedari dalam sesetengah perkara bahawa Jho Low agak berpengaruh dan selepas perubahan kerajaan, dia juga menyedari tahap skala yang dia (jho Low) mampu lakukan terutama selepas lawatan ke China. 

Saksi juga berkata beliau mendapati ia pelik bahawa ahli perniagaan itu berkemampuan mengeluarkan arahan bagi tarikh akhir yang ketat kerana sesetengah cadangan itu adalah besar dan di luar daripada dunia ini dan orang ramai akan berpendapat bagaimana seorang itu boleh melakukannya dengan seorang diri.

Muhammad Shafee kemudian merujuk perenggan 39 kenyataan saksi Amhari Efendi.

Muhammad Shafee: Merujuk kepada arahan Jho Low di mana anda menyifatkan ia sebagai ‘agresif’ dan perjumpaan antara ketiga-tiga anda (Jho Low, Amhari Efendi dan Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu, Allahyarham Datuk Azlin Alias) sebagai 'pelik', apa yang anda maksudkan dengan ‘pelik’.

Amhari Efendi : Ada ketikanya Azlin mempersoalkan arahan berkenaan, di mana dia kemudiannya akan menyemak sendiri dengan Datuk Seri Najib.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, beliau sendiri tidak pernah menyemak dengan Najib kerana ini akan memalukan untuk memintas ketuanya (Azlin).

Muhammad Shafee: Tetapi anda boleh lakukan yang lebih baik dengan bertanya sendiri kepada Perdana Menteri? Anda temui dia banyak kali, sepatutnya anda boleh bertanya.

Amhari Efendi: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Anda berkata anda tidak berpeluang untuk mengutarakan perkara ini kepada Datuk Seri Najib apabila anda menemuinya banyak kali, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu? Anda tidak boleh utarakan ini?

Amhari Efendi: Saya tidak boleh. Saya terpaksa dengar kepada Azlin. Dalam perkhidmatan awam, saya perlu mematuhi peraturan. Saya perlu melaporkan kepada ketua saya. Adalah memalukan kepada saya jika berbuat di sebaliknya. Melainkan Azlin yang meminta saya periksa.

Muhammad Shafee: Anda mengesahkan anda bergantung sepenuhnya kepada kata-kata Jho Low dan Azlin.

Amhari Efendi: Ya.  

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 kesalahan membabitkan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan wang berkenaan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011, dan 19 Dis, 2014, dan 21 pertuduhan itu antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel