Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Port Dickson disasar jadi perintis projek gabung bil air dan IWK


Tarikh kemaskini: 06/09/2019





PORT DICKSON, 6 Sept -- Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyasarkan daerah Port Dickson sebagai kawasan perintis bagi projek penggabungan bil air dan bil pembentungan selepas ia berjaya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menterinya Dr Xavier Jayakumar berkata bagaimana pun kementerian itu memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan penduduk untuk mencapai hasrat berkenaan.

Beliau berkata penggabungan bil berkenaan dijangka mampu meningkatkan semula hasil kutipan hutang bil pembentungan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), dan menurutnya penggabungan bil itu tidak membawa kepada sebarang kenaikan tarif air dan IWK.

"Sekarang orang bayar bil berasingan. Kita nak bawa kedua-dua bil dibayar sekali," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Sunggala di sini hari ini, bersama dengan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya cadangan itu bagaimana pun akan dibincangkan bersama kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk persetujuan, dan ia akan diperluaskan di negeri lain sekiranya berjaya dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua premis komersial dan hotel di Port Dickson untuk membuat sambungan kepada sistem pembentungan awam agar air kumbahan dapat dirawat dengan efisyen dan tidak menyebabkan pencemaran kepada sungai atau pantai.

"Port Dickson adalah kawasan pelancongan yang menempatkan hotel-hotel bertaraf antarabangsa dan ramai datang ke sini. Sebab itu kita kena pastikan air yang keluar ke dalam laut itu ialah air bersih dan tidak ada pencemaran.

"Sebab itu cadangan kita untuk Port Dickson menjadi satu kawasan contoh dalam Negeri Sembilan dan saya akan minta kerjasama daripada kerajaan negeri bersama dengan IWK untuk pastikan bahawa sambungan dari semua lapangan iaitu industri, perumahan, kampung dan juga kedai-kedai dan sebagainya ada sambungan kepada loji rawatan IWK," katanya.

Di Port Dickson, terdapat dua loji rawatan IWK iaitu di Bandar Port Dickson serta Kampung Sunggala yang mampu menampung 210,000 kapasiti pengguna, dan setakat ini ia merekodkan 90,000 kapasiti pengguna.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel