Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 60 peratus syarikat dengan sijil halal adalah milik bukan Islam - Mujahid


Tarikh kemaskini: 06/09/2019





KUALA LUMPUR, 6 Sept -- Data halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan lebih 60 peratus syarikat dan pengeluar produk yang memperoleh sijil halal adalah syarikat multinasional yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata ini kerana syarikat bukan Islam sedar akan kepentingan memiliki pensijilan halal yang boleh membawa produk mereka jauh dalam industri selain produk mereka bukan sahaja diterima secara meluas dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Sebaliknya industri Bumiputera pula masih banyak lagi yang belum memohon untuk memiliki sijil halal daripada kami... ini yang saya musykil kenapa mereka tidak berbuat demikian,” katanya dalam ucapannya di HALFEST JAKIM 2019 edisi Ke-8 dari 4 hingga 8 Sept, bertempat di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan dekat sini.

Mujahid berkata dengan persijilan halal JAKIM itu, dapat dipastikan sesuatu produk itu bukan sahaja menggunakan bahan halal tetapi juga bersih tidak kira ia dikeluarkan syarikat milik Muslim atau bukan Muslim. 

Oleh itu syarikat-syarikat milik Bumiputera dan Muslim yang belum mendapat pensijilan halal bagi produk atau perkhidmatan mereka digesa untuk memohon perakuan itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Dengan adanya pensijilan halal itu, syarikat Bumiputera juga dapat bersaing dengan syarikat multinasional, bukan sahaja dalam negara bahkan di luar... ia juga memberi akses yang meluas, dan produk itu sendiri diyakini serta selamat digunakan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mujahid juga berkata Islam tidak mengajar umatnya untuk memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu tetapi menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

“Kita perlu fokus kepada dua teras iaitu Yakini Halal Malaysia dan Buy Malaysian Product First... kita jadikan halal sebagai ‘benchmark’ kita.

“Sebagai Muslim, apabila saya ke luar negara, saya mencari makanan halal... saya akan tanya halal atau tidak, saya tidak tanya bangsa apa,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu ialah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Datuk Seri Sirajuddin Suhaimee.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel