ADKOB0AcoK4 Malaysia akan jadi pemain dunia industri kandungan kreatif
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia akan jadi pemain dunia industri kandungan kreatif


Tarikh kemaskini: 06/09/2019





CYBERJAYA, 6 Sept -- Malaysia berpotensi menjadi antara pemain dunia bagi industri berkaitan kandungan kreatif termasuk animasi dan permainan digital dalam sedikit masa lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perbincangan bersama Kementerian Kewangan supaya industri kandungan kreatif diberi lebih peruntukan dalam Belanjawan 2020 selain insentif cukai sudah dibuat bagi menggalakkan pertumbuhan industri itu.

"Malaysia perlu menyiapkan diri untuk menjadi pemain dunia dalam industri kandungan kreatif. Ekosistem bagi industri ini di dalam negara  perlu dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kre8tif! 2019 di sini hari ini. 

Gobind berkata Malaysia perlu menjadi hab industri kandungan kreatif supaya pakar industri tersebut dari seluruh dunia memilih negara ini sebagai lokasi untuk meningkatkan kemahiran dan membuat pelaburan. 

"Industri kandungan kreatif juga boleh mempromosi Malaysia di pentas dunia melalui segmen gaming (permainan digital) yang berlatarbelakangkan ciri-ciri dan tarikan Malaysia seperti hutan tropika, gua dan bandar raya,” katanya. 

Beliau berkata Malaysia boleh dipromosikan di pentas dunia apabila pakar industri kandungan kreatif tempatan menonjolkan ikon Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Gua Mulu, Menara Kuala Lumpur, Gunung Kinabalu dan Pulau Sipadan dalam permainan yang dibangunkan umpamanya.

"Sama juga dengan segmen animasi, ciri-ciri Malaysia boleh dimasukkan dalam animasi keluaran Malaysia bagi menyumbang kepada sektor pelancongan negara," katanya. 

Melalui pendekatan demikian, Gobind berkata industri kandungan kreatif mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.  

Berdasarkan kajian Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), industri kandungan kreatif negara menjana RM7.4 bilion pada 2017, manakala dalam tahun 2018, nilai eksport produk animasi sahaja  berjumlah RM146 juta.

Industri tersebut juga sudah mewujudkan 11,000 peluang pekerjaan, katanya. 

Sehingga kini, terdapat 100 syarikat animasi di Malaysia manakala seluruh kelompok digital kreatif negara berjumlah 350  syarikat termasuklah syarikat yang membangunkan permainan dan filem.

Karya kandungan kreatif negara sudah memasuki 120 negara. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel