Kerajaan negeri sambut baik projek Kampung Angkat Pergigian N. Sembilan
Tarikh kemaskini: 07/09/2019
SEREMBAN, 7 Sept -- Projek Kampung Angkat Pergigian Negeri Sembilan yang melibatkan 36 kampung dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan gigi selain meningkatkan perkhidmatan pergigian kepada masyarakat.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyambut baik langkah Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan memperkenalkan projek itu berkata inisiatif murni itu dapat mendekatkan bahagian itu dengan rakyat dalam usaha memberikan perkhidmatan cemerlang kepada mereka.
"Setiap Klinik Pergigian Kerajaan di Negeri Sembilan akan bertanggungjawab kepada sebuah kampung angkat. Saya juga difahamkan bahawa projek ini berkonsepkan penyampaian khidmat pergigian secara nukleus iaitu merangkumi seluruh isi keluarga.
"Ini bermaksud aktiviti yang dijalankan bukan sahaja akan lebih tersentuh kepada masyarakat, tetapi juga mewujudkan sistem sokongan yang lebih utuh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian dan Kampung Angkat Pergigian Negeri Sembilan 2019 di sini, hari ini.
Beliau berkata tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan kesihatan pergigian didapati masih belum memuaskan.
"Penyakit pergigian seperti gigi berlubang dan penyakit gusi merupakan penyakit tidak berjangkit. Ia berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat seperti tidak mengamalkan penjagaan gigi dengan betul, pengambilan makanan bergula berlebihan dan tabiat merokok,” katanya.
-- BERNAMA
|