Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Serbuan Jais ke atas markas Syiah semalam mengikut SOP - MB


Tarikh kemaskini: 07/09/2019




SHAH ALAM, 7 Sept -- Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas penganut ajaran Syiah malam tadi di Gombak adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Katanya, kerajaan Selangor tetap berpegang terhadap larangan ke atas amalan ajaran Syiah seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2013.

“Kita sudah jelaskan dan berulang kali dalam khutbah Jumaat menyebut berkenaan larangan terhadap ajaran Syiah ini,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Selangor Agrofest 2019 di Tapak Bazarena, Seksyen 13, di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jais, Azlinda Azman dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Pengerusi Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi merupakan antara 22 individu yang ditahan Jais dalam serbuan di Taman Sri Gombak dekat sini malam tadi.

Katanya serbuan pada kira-kira pukul 9.55 malam semalam itu dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan dari orang awam berkaitan aktiviti yang akan dilakukan oleh penganut syiah di markas Hauzah ar-Ridha di Taman Sri Gombak.

"Beberapa barang turut disita semasa tangkapan berkenaan antaranya seperti kain rentang, batu karbala, bingkai gambar, kitab dan buku berkaitan ajaran syiah.

"Kamil Zuhairi dan 21 pengikutnya kemudian dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi siasatan lanjut," katanya.

Tambah Azlinda tangkapan dilakukan pihak Jais berdasarkan Seksyen 12(C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dimana jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan yang dilakukan oleh Jais adalah bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada Okt 2013 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa fahaman dan ajaran syiah adalah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Salah satu ajaran syiah adalah mereka menolak Ijmak Ulama, Islam bukan syarat wajib haji dan pelbagai lagi yang boleh mendatangkan bahaya kepada umat Islam di samping menyebabkan perpecahan umah," katanya.

Katanya lagi pihak Jais akan terus memantau kegiatan penganut ajaran berkenaan untuk memastikan tiada sebarang aktiviti berkaitan ajaran itu dijalankan di Selangor terutamanya aktiviti berkaitan sambutan Hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam.

"Pihak Jais juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganut ajaran berkenaan dan memohon kerjasama dari orang ramai untuk memaklumkan sebarang kegiatan jenayah syariah ke pihak penguatkuasa Jais," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel