Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAM beri penghargaan kepada dua penyokong skuad Harimau Malaya


Tarikh kemaskini: 08/09/2019





KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memberikan penghargaan kepada dua penyokong skuad Harimau Malaya, yang memberikan sokongan dalam dua suasana berbeza, sewaktu Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada aksi sulung Kumpulan G, Pusingan Kelayakan Kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Khamis lepas.

Video peminat cilik Harimau Malaya, Omar Saiful Razman, 8, yang bersorak dan menangis selepas meraikan gol kemenangan pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh yang tular di laman sosial, telah mendapat perhatian beberapa pemain skuad Harimau Malaya.

Empat pemain skuad kebangsaan diketuai Sumareh, Shahrul Mohd Saad, Muhammad Syafiq Ahmad dan kapten skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias, telah membuat kejutan dengan menghadiahkan tiket kepada Omar, untuk menyaksikan aksi kedua Kumpulan G di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi satu pertemuan khas yang diatur FAM di hotel penginapan pemain skuad kebangsaan di Seri Kembangan, dekat sini.

FAM yang berkongsi video kejutan berkenaan di laman Facebooknya hari ini, turut memaklumkan Omar turut menerima sehelai jersi Harimau Malaya yang ditandatangani oleh Sumareh sendiri.

Omar merupakan anak sulung kepada pelakon Nadiya Nisaa dan suaminya, Saiful Razman Mohd Kassim.

Video Omar yang bersorak dan menangis gembira selepas Mohamadou Sumareh menjaringkan gol kemenangan skuad Harimau Malaya ke atas Indonesia menjadi tular di laman sosial baru-baru ini, sehingga mendapat perhatian netizen yang berbangga, dengan semangat ditunjukkan peminat cilik berkenaan.

Dalam perkembangan sama, FAM turut  menghargai sokongan yang dipamerkan peminat setia Harimau Malaya Mohd Zulrani Helmi Mohd Zakri, 39, yang patah tangan kiri, ketika menyaksikan perlawanan itu di Jakarta.

Farizal, Shahrul, Muhammad Syafiq Ahmad bersama Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menziarahi Mohd Zulrani di kediamannya di Kuala Lumpur, hari ini, telah menghadiahkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan di antara Malaysia dan UAE pada 10 Sept, selain sedikit sumbangan pada pertemuan berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel