Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Poster Kuning Diraja' warnai ibu negara sempena Hari Keputeraan Agong


Tarikh kemaskini: 08/09/2019





KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Menjelang sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok, jalan-jalan utama di sekitar ibu negara dan Istana Negara meriah dihiasi dengan gegantung serta kain rentang memaparkan gambar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain gambar Seri Paduka berdua, poster dan gegantung berwarna kuning diraja itu turut memaparkan ucapan merafak sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah yang menyambut ulang tahun keputeraan yang ke-60, tahun ini.

Antara kawasan yang dihiasi poster dan gegantung berkenaan adalah sekitar Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Tun Razak.

Selain itu, premis-premis swasta sekitar Kuala Lumpur turut dilihat memasang poster ucapan merafak sembah tahniah di bangunan masing-masing.

Di lama sosial Twitter, pelbagai agensi kerajaan, syarikat dan organisasi swasta serta netizen turut menzahirkan ucapan merafak sembah tahniah selain menitipkan doa untuk kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong.

Tarikh 9 Sept diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi tahun ini.

Tepat pukul 9.00 malam ini, Yang di-Pertuan Agong dijadualkan menyampaikan titah sempena sambutan itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen dan radio di seluruh negara. 

Bagi acara kemuncak sempena sambutan hari istimewa Al-Sultan Abdullah esok, akan berlangsung Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara dan diikuti dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada sebelah petang.

Pada 12 Sept akan berlangsung Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel