Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UTK PDRM jalani latihan persediaan hadapi Persidangan APEC 2020


Tarikh kemaskini: 08/09/2019





KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalani latihan bagi memantapkan kecekapannya, sebagai persediaan dalam menghadapi Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun hadapan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pasukan itu diberikan pelbagai latihan harian yang lebih khusus sebagai persediaan.

“PDRM juga sedang mempersiapkan segala kelengkapan yang perlu pada persidangan berkenaan,” katanya kepada pemberita sewaktu lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri ismail Abu Bakar ke UTK di Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan PDRM bagi menghadapi persidangan APEC.

“Seperti yang kita tahu, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada persidangan APEC pada tahun hadapan dan kita tahu ramai tetamu dan ketua negara akan datang pada persidangan itu.

“Oleh yang demikian, amat penting untuk kita pastikan persidangan APEC ini berjalan lancar, dan tetamu serta ketua-ketua negara yang hadir dilindungi,” katanya

Ismail berkata dengan adanya latihan berkenaan ia akan meningkatkan tahap kecekapan UTK dari semasa ke semasa.

APEC yang terdiri daripada 21 negara, adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat di kalangan negara Asia Pasifik dan bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran dengan menggalakkan keseimbangan, inklusif, kelestarian, inovatif dan jaminan pertumbuhan termasuk meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau.

Forum perdagangan global yang terkemuka itu akan menyediakan banyak peluang untuk rakyat Malaysia berkembang khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan mengambil bahagian dalam persediaan serta penganjuran acara itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Hamid berkata PDRM berhasrat untuk memperbesarkan perjawatan UTK PDRM kepada 888 pegawai dan anggota yang mana kertas cadanganya telah diangkat pada tahun lepas.

"Setakat ini, UTK mempunyai 409 pegawai dan anggota melibatkan elemen operative dan non-operative. Proses pemilihan operatif UTK dilakukan secara ketat dan terancang bagi memastikan hanya yang benar-benar berkemampuan sahaja akan diserap ke dalam unit elit berkenaan," katanya.

Abdul Hamid berkata dalam setiap sesi pengambilan terbuka yang dijalankan, peratus lulus hanyalah sekitar 15 peratus sahaja, dan menurutnya dalam pengambilan terbaharu pada tahun ini, hanya 15 daripada 104 calon yang berjaya melepasi segala ujian yang dijalankan selama tiga bulan.

Menyentuh mengenai aspek kemudahan dan kelengkapan UTK, beliau berkata pembinaan kompleks UTK di Semenyih, dekat sini, bernilai RM200 juta dijangka siap pada 2022.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel