Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak derita paru-paru kronik mohon bantuan


Tarikh kemaskini: 09/09/2019




MACHANG, 9 Sept -- Seorang suri rumah merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan anak bongsunya yang menghidap penyakit saraf otak dan paru-paru kronik sejak lahir.

Rosnani Mat Ghani, 44, dari Kampung Banggol Judah di sini, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu, Adamia Fitri Mat Rahim, 5, dikesan menderita penyakit Hypoxic Ischaemic Encephalopathy (HIE) sejak lahir.

Beliau berkata anaknya dilahirkan secara pembedahan akibat lemas dalam kandungan terpaksa ditahan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu selama tiga bulan sejak dilahirkan disebabkan pelbagai komplikasi.

“Adamia Fitri juga mempunyai masalah paru-paru kiri manakala otaknya mengecut menyebabkannya memerlukan perhatian dan jagaan rapi sepajang masa,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini, hari ini.

Rosnani berkata dengan pendapatan suami, Mat Rahim Mat Hassan, 53, yang hanya bekerja kampung, dengan pendapatan kira-kira RM300 seminggu tidak mencukupi untuk menanggung kos penjagaan anaknya itu serta seorang anak yang lain yang masih bersekolah.

Beliau berkata kos perbelanjaan Adamia sahaja sudah mencecah hampir RM1,000 sebulan termasuk susu khas, lampin pakai buang serta keperluan kos rawatan lain. 

“Susu khas yang digunakan berharga RM164 satu tin mampu bertahan untuk 10 hari sahaja memandangkan Adamia Fitri perlu minum susu sebanyak enam kali sehari,” katanya sambil menambah ada ketika terpaksa berlapar kerana kesempitan wang. 

Rosnani berkata bahagian leher anaknya juga terpaksa ditebuk bagi dimasukkan tiub untuk memudahkannya bernafas dan membuang kahak.

“Walaupun anak saya tidak normal seperti kanak-kanak seusianya dan pertumbuhannya terbantut namun sebagai seorang ibu, saya sentiasa berharap Adamia diberikan kesihatan yang baik hingga akhir hayatnya,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam bernombor 03045022050565 atau menghubungi di talian 014-8474223.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel