Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tengku Maimun tekad perkukuh sistem kehakiman


Tarikh kemaskini: 09/09/2019





KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang dianugerahi Darjah Kebesaran Persekutuan hari ini, berazam untuk meneruskan usaha menambah baik sistem kehakiman negara.

Tengku Maimun, yang ditemui pemberita selepas istiadat penganugerahan itu di Istana Negara, berkata beliau akan meneruskan agenda penambahbaikan (reform) dalam sistem kehakiman yang telah diusahakan  penyandang jawatan itu sebelum ini. 

"Saya akan teruskan dengan apa reform yang telah diusahakan atau dimulakan oleh pendahulu saya Tan Sri Richard Malanjum sebelum kita teruskan reform yang baharu,” katanya.  

Tengku Maimun yang mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 sempena  sambutan  Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun merupakan antara tiga tokoh yang menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri. 

Tengku Maimun melahirkan perasaan terharu dan terima kasih yang tidak terhingga atas penganugerahan itu.   

Berkongsi perasaan itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar yang turut dianugerahi  PMN  bertekad meneruskan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih daripada gejala rasuah.

Sambil mengucapkan tahniah kepada penjawat awam yang turut dikurniakan darjah kebesaran pada istiadat itu, beliau berharap penganugerahan tersebut menjadi galakan untuk mereka berkhidmat dengan lebih cemerlang, dan cekap dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohammad Ariff Yusof menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang diterimanya.  

Mohammad Ariff berkata beliau bertekad meneruskan visinya dalam melakukan reformasi Parlimen yang antara lain telah pun dimulakan melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dan usaha merakyatkan  Parlimen. 

“Kita juga akan adakan upacara dan aktiviti yang melibatkan rakyat jelata seperti Debaton Parlimen yang baru kita anjurkan Sabtu lalu,” katanya.

Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli berkata pengurniaan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) kepadanya memberikan beliau semangat untuk berusaha lebih keras dan berkhidmat kepada negara dan Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel