Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PIKOM: umumkan status semasa DFTZ, MSC


Tarikh kemaskini: 09/09/2019





Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan utama, ketelusan program yang dilaksanakan oleh kerajaan dan inisiatifnya boleh menjadi kunci untuk menarik minat pelabur asing, terutama di tengah-tengah perang perdagangan Amerika Syarikat, kata Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia ( PIKOM).

Pengerusinya Ganesh Kumar Bangah berkata kerajaan harus mengumumkan status semasa Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan pada 2017, serta prestasi syarikat yang didaftarkan di bawah MSC (Koridor Raya Multimedia) yang diperkenalkan pada 1996 .

DFTZ adalah inisiatif untuk memanfaatkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi Internet dan aktiviti e-dagang merentas sempadan. Ia juga membantu melancarkan perdagangan merentas sempadan dan membolehkan perniagaan tempatan mengeksport barangan melalui platform tersebut.

"Ekonomi e-dagang untuk Asia Tenggara dijangka tumbuh daripada US$50 bilion hingga US$250 bilion dalam tempoh enam hingga tujuh tahun akan datang dan kita berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkannya melalui DFTZ, namun apa yang kita lakukan mengenainya ?

"Adakah kita masih mempromosikan DFTZ, bagaimana sistem DFTZ, apakah indikator prestasi utama DFTZ? Ini semua perlu diketahui oleh industri dan orang ramai. Barulah kita boleh letakkan kedudukan Malaysia pada tahap terbaik," katanya kepada Bernama.

Ganesh berkata semasa pengasas dan pengerusi kumpulan Alibaba, Jack Ma memilih untuk menyokong DFTZ, beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai hab Asia Tenggara, dengan Malaysia sebagai destinasi utama untuk dituju oleh syarikat lain.

"Adakah kita destinasi utama hari ini?" tanya beliau.

Beliau menegaskan bahawa negara ASEAN semakin cepat berusha menjadikan negara masing-masing sebagai destinasi pelaburan asing. Vietnam, lokasi Apple bertapak tiga tahun lepas, memperluas perniagaannya dan membina pusat data.

"Syarikat-syarikat Amerika dan China akan memikirkan Asia Tenggara ketika merancang untuk memindahkan perniagaan mereka, dan Malaysia perlu menjadi antara negara yang muncul dalam perancangan mereka," katanya,

Bagaimanapun, beliau berkata perniagaan tempatan tidak perlu bimbang tentang perang perdagangan AS-China yang semakin meningkat kerana ia merupakan gangguan interim, sebaliknya mereka perlu meningkatkan perkhidmatan dan kepakaran untuk menjadi lebih berdaya saing dan memanfaatkan pasaran yang tidak menentu sekarang ini.

Syarikat-syarikat itu, katanya, perlu memastikan mereka mempunyai kemahiran yang tepat untuk menyambut lebih banyak pelaburan asing di sini dan pada masa yang sama menjadi pintu masuk bagi rantau ASEAN, yang mempunyai pasaran 651 juta orang.

Mengenai MSC 2.0 yang diumumkan baru-baru ini, beliau berkata ia masih belum jelas, dari aspek inisiatif.

"Ia kini hanya untuk syarikat perkhidmatan. Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat yang mempunyai harta intelek (IP)? Saya fikir masih banyak kerja yang perlu dilakukan. "

MSC dilancarkan oleh Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan hab bagi pengeluar inovatif dan pengguna teknologi multimedia.

Secara menyeluruh, Ganesh berkata, perang perdagangan AS-China, yang telah berlarutan hampir dua tahun, akan membawa pelaburan dalam jangka sederhana hingga jangka panjang, namun penurunan dalam eksport dalam jangka pendek.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2019, Selangor, yang mendapat manfaat daripada perang perdagangan, mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM5.9 bilion dalam sektor perkilangan, meningkat 90.3 peratus daripada RM3.1 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Daripada RM5.9 bilion, 64 peratus atau RM3.8 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan adalah dalam sektor perkilangan.

Eksport menurun sebanyak 3.1 peratus pada Jun kepada RM76.2 bilion berbanding tahun lalu berikutan penurunan jualan barangan elektrik dan elektronik serta produk kayu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel