Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hati tersentuh setiap kali dengar bacaan Al-Quran


Tarikh kemaskini: 10/09/2019




KUANTAN, 10 Sept  -- Rasa aneh yang amat menyentuh perasaan setiap kali mendengar alunan bacaan al-Quran membuka hati wanita Orang Asli, Sahara Sangan untuk memeluk agama Islam.

Sahara, 42, yang merupakan ibu tunggal kepada enam anak dari Kampung Inoi, Muadzam Shah dekat sini, bersyukur kerana hasratnya tidak mendapat tentangan lima anaknya yang semuanya sudah memiliki keluarga sendiri. 

"Setiap kali mendengar orang mengaji di radio atau televisyen pasti ada satu perasaan yang tak dapat diungkap...rasanya sangat tenang dan saya bersyukur kerana diberikan hidayah ini. 

"Saya berharap dapat menerima bimbingan yang baik dalam mendalami agama Islam dan semoga ahli keluarga lain turut menerima peluang seperti saya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Sahara antara 47 saudara baharu yang diraikan dalam Majlis Pengislaman dan Ramah Mesra Saudara Baharu Islam anjuran Yayasan Pahang di kompleks yayasan tersebut di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kesihatan dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi. 

Bagi Muhammad Taufiq Augustin, 51, yang berketurunan Iban bersyukur kerana akhirnya hasrat untuk menjadi saudara baharu tercapai setelah lebih 30 tahun menyimpan niat. 

"Saya telah lama tertarik dengan keindahan dan kedamaian Islam memandangkan saya dikelilingi rakan rapat yang semuanya beragama Islam dan mereka menunjukkan contoh yang baik dalam agama ini.

"Peluang akhirnya muncul apabila berjumpa seorang kenalan yang baru pulang daripada menunaikan haji dan entah mengapa hati saya terbuka untuk terus melafazkan kalimah syahadah di hadapan beliau pada Khamis lalu," katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata seramai 3,928 penduduk Orang Asli di Pahang telah memeluk agama Islam sejak 2008 hingga kini, dibantu oleh Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli Yayasan Pahang (Petama) yang diwujudkan pada 3 Mei 1998. 

Beliau menambah daripada jumlah itu, seramai 799 pemimpin Islam dan ejen perubahan serta pembangunan dilatih bagi membolehkan mereka memberi kefahaman dan membantu masyarakat Orang Asli dalam perihal agama Islam dengan lebih mendalam. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel