Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aksi basikal lajak di Lekas, tiada tangkapan setakat ini - polis


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KUALA PILAH, 10 Sept  -- Tiada tangkapan dilakukan polis setakat ini terhadap kanak-kanak dan remaja yang terbabit dalam kejadian menggunakan basikal lajak di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) Sabtu lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis kini sedang mengesan kumpulan penunggang basikal lajak itu yang video aksi mereka di lebuh raya berkenaan tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

“Saya ingin menasihatkan semua (kanak-kanak dan remaja) supaya jangan terlibat dengan basikal lajak dan kita akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

"Bagi ibu bapa pula, saya meminta supaya memantau kegiatan anak mereka agar tidak terlibat dengan kumpulan basikal lajak ini," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Pilah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di sini, hari ini.

Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak dan remaja dirakam melakukan aksi berbahaya menggunakan basikal lajak di Lekas Sabtu lepas.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir dalam kenyataannya berkata mana-mana individu yang didapati terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak termasuk melakukan aksi yang mengancam nyawa dan pengguna jalan raya yang lain, boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) dan denda maksimum RM2,000.

Katanya sekiranya pesalah masih lagi di bawah umur, ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak dan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 serta boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun.

Pada majlis itu, DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Pilah yang baharu menggantikan Supt Haslah Bachok yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat.

Syahrul Anuar sebelum ini adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis negeri SAC Che Zakaria Othman.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel