Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis rampas dadah dan sita harta bernilai hampir RM11 juta


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KOTA BHARU, 10 Sept  -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama polis Kontinjen Kelantan berjaya merampas sejumlah 700,000 biji pil kuda bernilai RM10.5 juta dalam Op Toucan yang dilaksanakan pada 5 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata rampasan itu dilakukan selepas pihaknya berjaya menahan tiga lelaki di Pasir Mas, 5 Sept lepas.

Katanya polis menahan tiga lelaki berumur antara 19 hingga 53 tahun itu dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di Pasir Mas pada pukul 12 tengah hari berdekatan Jalan Lubuk Kiat-Kubang Kuau, Pasir Mas.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui 700,000 pil kuda seberat 77.61 kilogram yang dianggarkan bernilai RM10.5 juta yang dipercayai diperolehi dari negara jiran.

"Susulan tangkapan itu, polis kemudiannya bertindak menahan seorang lelaki dua jam kemudian dipercayai sebagai ketua sindiket pengedaran dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama. Suspek berusia 37 tahun ketika ditahan dikatakan bakal berangkat menunaikan umrah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mohd Khalil berkata JSJN Bukit Aman dengan kerjasama polis Kontinjen Kelantan telah menjalankan risikan menerusi Ops Toucan sejak April lalu.

Jelasnya pada 5 petang hari yang sama,  polis turut menahan seorang wanita berumur 48 tahun di sebuah rumah Jalan Yaakubiah di sini, yang dipercayai bertindak sebagai pengurus wang kepada sindiket pengedaran dadah berkenaan.

"Siasatan yang dijalankan, kita percaya modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan dadah dari negara jiran sebelum menjualnya semula di sini sama ada secara pukal atau runcit.

"Polis turut menyita beberapa kenderaan, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM476,000 manakala kesemua suspek direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam satu operasi yang dijalankan di Kelantan dan Pahang bermula 7 hingga 9 Sept lalu, polis berjaya menahan seramai 88 individu termasuk tujuh wanita iaitu 46 orang di Kelantan dan 42 orang di Pahang.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, polis berjaya merampas sejumlah dadah bernilai RM189,000 dan menyita harta bernilai RM372,000.

"Turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah sepucuk pistol jenis Sig Sauer di Tumpat bersama 88 butir peluru 9 mm.

"Semua tangkapan direman seminggu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Jelasnya, kedua-dua operasi itu dilaksanakan dalam tempoh lima hari iaitu bermula 5 hingga 9 Sept bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline iaitu 012-2087222.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel