Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Karnival Pantai Terengganu 2019 sasar 100,000 pengunjung


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KUALA TERENGGANU, 10 Sept  -- Karnival Pantai 2019 yang bakal berlangsung lima hari bermula Khamis ini, di Pantai Batu Buruk di sini, dijangka mampu menarik 100,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, sasaran itu bertepatan dengan keunikan karnival itu sendiri, yang merupakan kesinambungan pesta 'Main Pantai' yang sentiasa ditunggu-tunggu masyarakat Terengganu dan pelancong.

"Karnival ini bukanlah satu program baharu, kerana ia umpama tradisi masyarakat Terengganu sejak dahulu lagi, untuk memeriahkan kawasan pantai, cuma ketika itu terdapat aktiviti pemujaan...jadi kita kembalikan ia dengan pembaharuan yang lebih Islamik, untuk menyemarakkan keunikan budaya, kesenian dan alam semula jadi di Terengganu.

"Sebelum ini, semua lapan daerah telah mempromosi pelbagai produk seni budaya dan warisan Terengganu melalui penganjuran Pekan Budaya, jadi karnival ini adalah kemuncaknya, dengan menghimpunkan semua keunikan itu di bawah satu bumbung," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Antara acara yang akan dianjurkan ialah pertandingan sukaneka tradisional rakyat seperti bola cetong (baling tin), batu selambut dan tinting bulu ayam serta demonstrasi silat yang hanya terdapat di Terengganu sahaja seperti silat kura-kura dan silat gayong otar-otar.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai setiap hari melalui pertandingan foto berkumpulan (wefie) yang berlatar belakangkan kemeriahan di tapak karnival.

Lebih istimewa, Ariffin berkata semua aktiviti demonstrasi seperti makanan tradisional, anyaman dan kraftangan serta pembuatan keris, akan dilakukan di bangsal tradisi sepertimana kehidupan rakyat Terengganu satu ketika dahulu.

"Terdapat 40 bangsal tradisi (diperbuat daripada batang pokok seperti nibong, buluh, kelapa dan nipah) yang berukuran 8×8 kaki akan dihiasi mengikut kreativiti sepanjang karnival ini berlangsung.

"Karnival ini juga adalah satu platform untuk jabatan dan agensi kerajaan, usahawan serta penggiat pelancongan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai," katanya.

Majlis perasmian karnival itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada petang Jumaat ini, katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel