aVOlyVhOTKw Siaran tanpa henti 24 jam Bernama bakal catat Malaysia Book of Records
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Siaran tanpa henti 24 jam Bernama bakal catat Malaysia Book of Records


Tarikh kemaskini: 10/09/2019





KUALA LUMPUR, 10 Sept  -- Menerusi siaran langsung tanpa henti selama 24 jam dalam empat bahasa dari 16 hingga 17 Sept ini bersempena Hari Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Siaran dari pukul 7 pagi (16 Sept) hingga 9 pagi (17 Sept) itu akan dibuat melalui semua saluran Bernama -- Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio, Bernama.com serta semua platform media sosial agensi berita itu.

"Ini adalah cabaran baharu bagi Bernama untuk mencuba dan melihat bagaimana kami boleh berganding bahu merentasi semua platform. Ia juga sangat penting kerana menerusi cara ini,  siaran dibuat  dalam empat bahasa… yang mencerminkan dan ia sangat berkesan  (untuk menzahirkan) keunikan negara kita, itulah sebabnya ia perkara yang sangat baik untuk kami lakukan bersempena Hari Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim kepada Bernama, BNC dan Bernama Radio.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan tajaan bagi "Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama", di Wisma Bernama, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain, serta Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR Edwin Yeoh Tiong Chin.

Terdahulu dalam ucapannya, Nurini berkata program ini mampu memberi pulangan positif kepada semua pihak terlibat serta penaja utama iaitu Terra Security Monitoring Sdn Bhd, Maad Travel Sdn Bhd dan Fomema Sdn Bhd atas semangat patriotisme bersempena meraikan Bulan Kemerdekaan.

Sementara itu, Yeoh berkata Bernama perlu memenuhi dua kriteria utama dalam mencipta rekod berkenaan, iaitu bersiaran langsung selama 24 jam dan menyiarkan berita dalam empat bahasa. 

Siaran tanpa henti itu akan menampilkan program bual bicara bersama ahli politik, tokoh korporat, atlet dan selebriti termasuk liputan berita bersempena sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak serta negeri-negeri lain.

Program itu akan menyiarkan pelbagai berita menarik dan lintas langsung melibatkan kira-kira 200 penyunting (editor), wartawan penyiaran, penerbit, jurukamera, kru teknikal serta jabatan lain di bawah Bernama.

Penonton dan pendengar juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM81,000 termasuk satu pakej dua orang percutian ke Pulau Jeju, Korea Selatan dengan menjawab kuiz mengenai Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan Bernama yang bakal ke udara setiap satu jam.

Program itu akan bersiaran di BNC saluran Astro 502, UnifiTV (631), MYTV (121), iflix, dan Bernama Radio melalui FM93.9 (Kuala Lumpur), FM107.5 (Johor Bahru), FM100.9 (Kuching) dan FM 107.9 (Kota Kinabalu).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel