'Circus On Ice' berpotensi jadi acara pelancongan tahunan Pahang
Tarikh kemaskini: 10/09/2019

KUANTAN, 10 Sept -- Persembahan sarkas 'Circus On Ice' yang julung kali diadakan di Pahang berpotensi dijadikan acara tahunan program pelancongan jika mendapat sambutan amat menggalakkan penonton.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata acara itu menampilkan persembahan bertaraf antarabangsa, yang diharapkan dapat menarik puluhan ribu pengunjung.
"Ini sudah pasti dapat membawa limpahan ekonomi di Pahang, khususnya di Kuantan seperti jumlah mereka yang menginap di hotel atau inap desa sekitar daerah ini.
"Selain itu, ia juga dapat merangsang jualan produk tempatan yang banyak dipamerkan di Serambi Teruntum, yang merupakan lokasi berlangsungnya acara ini," katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan Malaysia Pahang Datuk Idros Yahya.
Mohd Sharkar berkata persembahan sarkas itu dibawa oleh Great Britain Circus dengan kerjasama penuh kerajaan negeri melalui Tourism Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
"Terdapat 12 aksi daripada 17 artis yang mengambil masa selama dua jam, bermula 8.30 malam setiap hari manakala pada hujung minggu dan cuti sekolah, slot tambahan diadakan pada pukul 5.30 petang," katanya.
Persembahan sarkas itu bermula pada 6 Sept lepas dan akan berakhir pada 29 Sept ini.
Beliau berkata Kuantan merupakan lokasi keempat persembahan sarkas itu selepas Negeri Sembilan, Johor dan Melaka sebelum bergerak ke Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
|