Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan sambut baik cadangan Dr Mahathir agar tanah sawah dicantumkan


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





KOTA BHARU, 11 Sept -- Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS  pada dasarnya menyambut baik cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar pesawah mencantum sawah padi mereka menjadi ladang yang besar dan diuruskan secara profesional.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata cadangan itu satu idea menarik bagi manfaat golongan pesawah itu sendiri.

"Ia satu cadangan yang perlu ada kajian dengan teliti dan mendapat pandangan dari pelbagai pihak terutamanya agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Kita sendiri sedia memberikan kerjasama dan tiada masalah (melaksanakannya) namun perlu ada kajian sebab ia melibatkan hak milik tuan tanah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Majlis Daerah Tanah Merah di sini,  hari ini.

Semalam Tun Mahathir mencadangkan pesawah kecil perlu mencantumkan tanah milik mereka bagi dijadikan ladang padi yang diurus secara profesional dan menjana keuntungan.

Perdana Menteri berkata jika usaha itu tidak dilakukan, pesawah kecil akan terus menjadi antara rakyat termiskin di negara ini yang bergantung kepada subsidi dan tanaman sawah semata-mata.

Mohd Amar berkata berkemungkinan idea itu akan memberikan hasil yang lebih besar kepada petani sekiranya ia dilaksanakan.

"Kita lihat  sawah dimiliki individu satu atau dua ekar, jadi hasilnya tidak besar,..mungkin cadangan ini menjadi ladang dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata parti itu tidak pernah menuduh UMNO sebagai kafir sejak dahulu lagi namun mendakwa  isu itu telah dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan mereka.

"Perkara itu jelas menerusi ucapan-ucapan dan ia hanya garis batas-batas iman dan kufur dan UMNO yang merasakan PAS menuduh mereka kafir ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita (PAS) tidak pernah kata UMNO kafir sejak dahulu lagi. Istilah berkenaan terpakai pada semua bukan sahaja UMNO, sebaliknya kepada semua orang Islam termasuk PAS dan tiada masalah sekiranya PAS mahu bekerjasama dengan UMNO,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama, mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada 14 September ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel