Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPRM tawar tempatkan pegawai kanan di pejabat Ketua Menteri Sabah


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





KOTA KINABALU, 11 Sept -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menempatkan seorang pegawai kanannya di pejabat Ketua Menteri Sabah sebagai satu usaha pencegahan, demi memastikan tidak berlaku sebarang rasuah dan salahguna kuasa.

Tawaran itu dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya yang berkata penempatan pegawai kanan SPRM di pejabat Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah perkara biasa yang dilaksanakan SPRM bagi tujuan pencegahan agar tidak ada peluang berlaku salah  laku rasuah.

Beliau berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah memaklumkan kepadanya bahawa bahawa pejabat Ketua Menteri amat mengalu-alukan cadangan berkenaan, dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie, di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini, dan turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi.

Menurutnya ia adalah perjumpaan rasmi pertama kepada Mohd Shafie bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai usaha meningkatkan pencegahan rasuah di peringkat Sabah.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM masih menjalankan siasatan rasuah terhadap pemimpin di Sabah yang pernah disiasat sebelum ini, beliau berkata siasatan terhadap mana-mana kes tidak akan ditutup hanya kerana seseorang itu telah berkuasa dalam kerajaan.

“Bagaimanapun SPRM turut melakukan penilaian terhadap setiap siasatan yang dibuat kerana semasa zaman kerajaan dahulu (Barisan Nasional), SPRM selalu dijadikan alat politik oleh pihak tertentu apabila banyak aduan dibuat hanya untuk mengenakan musuh politik.

“Tiada yang dihentikan hanya kerana seseorang telah berkuasa, kami tidak akan berhenti secara automatik, kami cuma berhenti jika kes itu tidak lebih daripada sekadar aduan, perlu difahami sebagai contoh ada laporan dibuat kerana bermotif politik.

“Sejak sekian lama SPRM telah digunakan sebagai alat politik, laporan dibuat untuk menyerang orang lain. Kami bekerja keras untuk menjadi profesional, kami tidak mahu digunakan sebagai medan untuk orang membuat laporan terhadap sesama sendiri,” tegasnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel