Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nour Shafinar hamil, tak sempat beritahu Mej Mohd Zahir


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





IPOH, 11 Sept  -- Nour Shafinar Harun, isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, yang meninggal dunia ketika melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah lapan hari lepas, perlu terus cekal dan tabah menjalani kehidupan, apalagi setelah mendapati dirinya kini hamil. 

Nour Shafinar, 31, mengetahui tentang kehamilan dirinya, dua hari selepas kematian insan tersayang.

“Dua hari selepas arwah tiada, kawan ada menegur: saya mengandung ke? Kalau ikutkan saya dah tidak datang haid dalam sebulan lebih namun lihat keadaan badan rasa naik, berat naik, (tapi) makan pun tidak (seberapa) sebab saya diet. 

“Saya kuatkan hati saya, buat ‘pregnancy test’ dan tengok saya hamil. Alhamdulillah saya mengandung, cuma arwah tidak sempat diberitahu,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan, di sini hari ini.

Beliau berkata dia tidak membuat pemeriksaan lengkap mengenai kehamilannya kerana masih bersedih.  

Sementara itu, Nour Shafinar berkata dia tidak menyalahkan mana-mana pihak selain redha atas kejadian yang menimpa suaminya, Allahyarham Mohd Zahir.

“Lagi satu saya nak beritahu juga, sebagai isteri kepada arwah, atas kejadian yang terjadi ini saya tidak salahkan mana-mana pihak.

“Saya redha dengan ketentuan ilahi dan saya juga anggap ini satu kemalangan dalam latihan sebab mereka (rakan setugas) sama-sama ‘sharp shooter’. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat meluangkan masa selama 30 minit menziarahi Nour Shafinar di samping menyampaikan sumbangan peribadi kepadanya.

Nour Shafinar berkata Tuanku Zara menasihatnya agar bersabar dan redha selain meneruskan hidup serta menguatkan semangat untuk menjaga anak-anak.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Lok Kawi, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir dilapor meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi, di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 4 Sept, selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dalam satu kenyataan berkata siasatan terhadap insiden Mohd Zahir menjurus kepada faktor kecuaian.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

— BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel