Tokoh dan personaliti wanita antara tetamu sambutan Hari Wanita Sarawak 2019
Tarikh kemaskini: 11/09/2019

KUCHING, 11 Sept -- Seramai 5,000 peserta, termasuk beberapa anggota Kabinet, tokoh dan personaliti wanita akan dijemput bagi memeriahkan sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri 2019 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, pada 28 September ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata tema sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri 2019 ini menampilkan tema “Wanita dan Keselamatan”.
“Tema ini dipilih bagi menghargai sumbangan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam bidang keselamatan," katanya dalam satu persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat sambutan Hari Wanita 2019 di Wisma Wanita, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fatimah berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang dijangka menjadi tetamu kehormat majlis itu yang bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada wanita di Sarawak.
"Sebanyak enam Anugerah Tokoh Wanita 2019 akan disampaikan pada sambutan itu iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Pengiat Sosial Wanita, Anugerah Usahawan Wanita, Anugerah Kepimpinan Wanita, Anugerah Khas Bidang Keselamatan dan Anugerah Pertubuhan NGO Cemerlang," katanya.
Fatimah berkata sempena sambutan itu juga kementerian terbabit akan menerbitkan buku bertajuk "Sarawak Women in Safety and Security....In Good Hands," yang akan menampilkan tokoh-tokoh wanita dalam bidang keselamatan, yang ditulis oleh pensyarah di Swinburne University of Technology Sarawak, Priscillia Pui Li Eng.
Sejumlah 22 personaliti dan satu pertubuhan badan bukan kerajaan akan ditampilkan di dalam buku terbabit yang akan dilancarkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Penview Hotel di sini, 25 September ini.
-- BERNAMA
|