Jerebu: Perkhidmatan feri ke Pulau Tioman tidak terjejas
Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KUANTAN, 11 Sept -- Keadaan jerebu yang teruk di Rompin dekat sini tidak menjejas perkhidmatan feri di jeti Tanjung Gemok, laluan masuk ke Pulau Tioman.
Pengurus Operasi Bluewater Express Mohammad Syafiq Farhan berkata untuk hari ini, perjalanan feri berjalan mengikut jadual iaitu pada 7 pagi dan 11 pagi.
"Jarak ketampakan masih selamat untuk perjalanan... setakat ini tiada masalah dan kami juga mengikuti perkembangan semasa jika ada arahan dikeluarkan pihak berkuasa," katanya semasa dihubungi di sini.
Rompin mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi di seluruh negara dengan bacaan 225 yang dikategorikan sebagai amat tidak sihat setakat 2 petang tadi, berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Dalam pada itu, empat stesen lain IPU di Pahang menunjukkan bacaan pada paras sederhana iaitu Temerloh 77, Jerantut (83), Indera Mahkota (76) dan Balok Baru di Kuantan (76).
Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Pahang Khairul Najib Ibrahim berkata secara amnya jarak ketampakan di Pahang adalah sekitar 3,000 hingga 6,000 meter untuk hari ini.
"Paling rendah setakat ini ialah di Batu Embun, Jerantut iaitu 4000 meter yang dijangkakan ketampakan ini akan menjadi lebih menyusut menjelang petang apabila suhu persekitaran menjadi lebih rendah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata setakat ini, tiada sekolah di Pahang khususnya di Rompin yang terpaksa ditutup akibat jerebu.
"Tindakan berhubung jerebu terserah kepada pengetua atau guru besar bergantung kepada perkembangan semasa dan kita sudah mempunyai garis panduan berhubung perkara ini.
"Jika perlu tindakan untuk menutup sekolah, guru besar atau pengetua boleh berbuat demikian dan memaklumkannya kepada Pejabat Pendidikan Daerah, namun setakat ini tiada," katanya.
-- BERNAMA
|