Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Shafie peramah, banyak berjasa bangunkan ekonomi Melayu


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





SEPANG, 11 Sept  -- Bekas Menteri Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh yang meninggal dunia hari ini, digambarkan sebagai seorang yang sangat disenangi, peramah dan banyak menabur  jasa dalam membangunkan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekitar tahun 1970-an, Allahyarham telah membuat kajian terhadap struktur dan permasalahan sosio ekonomi peneroka Felda dan kajiannya telah dijadikan asas untuk rancangan mempertingkat taraf hidup peneroka Felda.

"Kajian ini merupakan empirical yang masih digunakan sebagai asas untuk sebarang kajian mengenai peneroka dan sosial ekonomi masyarakat Felda," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Makmur, Kampung Giching, Salak Tinggi di sini hari ini.

Shafie, 73, yang juga Ketua Pengakap Negara meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 9.30 pagi hari ini akibat komplikasi dalam perut.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Makmur dan dikebumikan pada kira-kira 3 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Giching.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata Allahyarham banyak membawa perubahan yang positif kepada Persatuan Pengakap Negara.

"Jasa beliau yang paling besar ialah memindahkan Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) dari Geneva ke Brickfields, Kuala Lumpur.

"Allahyarham juga sentiasa menekankan kepentingan untuk meremajakan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bagi menarik lebih ramai generasi muda menyertai PPM," katanya.

Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan Shafie seorang yang cukup berhemah dan bersopan santun.

 "Beliau menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang pertama pada 2004 dan kemudiannya saya mengambil alih jawatan itu dari beliau pada 2006. Banyak yang saya belajar dari beliau," kata Mustapa.

Shafie meninggalkan isteri, Puan Sri Prof Emeritus Mizan Adilah Ibrahim dan tiga orang anak.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Pusat Penyelidikan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN);  Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Manusia; dan Setiausaha Penyelidikan di bahagian Analisis Dasar Pusat Kajian Pembangunan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel