Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia perlu fokus semula perhatian kepada keusahawanan - Dr Mahathir


Tarikh kemaskini: 11/09/2019





PUTRAJAYA, 11 Sept  -- Malaysia perlu memfokuskan semula perhatian kepada keusahawanan demi memacu ke hadapan dan bersaing dengan negara-negara maju, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata usahawan adalah sumber kehidupan sebuah negara dan dapat membantu negara mencapai tahap kemajuan lebih tinggi, dan dengan itu Malaysia perlu menjadi negara usahawan.

"Usahawan boleh membantu Malaysia melepasi jebak pendapatan pertengahan melalui idea-idea inovatif  dan dengan menerokai bidang-bidang yang belum diteroka," kata beliau pada Majlis Makan Malam Gala sempena Ulang Tahun ke-35 Binary University di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan bahawa usahawan juga dijangka menyumbang kepada kewujudan satu juta pekerjaan di Malaysia menjelang 2030.

Di samping itu, beliau berkata usahawan boleh menyumbang kepada model ekonomi baharu Malaysia berteraskan Berkongsi Kemakmuran dengan melabur dalam segmen masyarakat yang miskin seperti B40 dengan mewujudkan peluang bagi usahawan dari kumpulan ini.

Dr Mahathir berkata beliau baru-baru ini melancarkan Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang berasaskan beberapa teras utama termasuk memacu sektor baharu pertumbuhan, menambahbaik pasaran tenaga kerja, meningkatkan kesejahteraan sosial dan modal sosial.

"Salah satu objektif utama dasar itu ialah menyemai budaya keusahawanan terutama di kalangan B40," katanya.

Dr Mahathir berkata negara berpendidikan yang mempunyai tenaga pekerja yang sangat mahir adalah perlu bagi Malaysia untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam pembangunan dan berdiri sama tinggi di arena antarabangsa.

"Dalam persekitaran VUCA (“Volatility, uncertainty, complexity and ambiguity”) dengan kemunculan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), ekonomi gig dan kewujudan peluang pekerjaan pada masa depan, berpendidikan universiti pun tidak mungkin menjamin seseorang memperoleh pekerjaan, " katanya.

Dr Mahathir berkata sektor awam dan swasta terbatas dalam kapasiti mereka untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan tenaga pekerja yang semakin meningkat.

Justeru, Dr Mahathir berkata jalan ke hadapan ialah dengan melahirkan sebuah negara pencipta peluang kerja dan bukannya pencari kerja.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel