Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MB Johor mahu pemerkasaan sistem perolehan secara tender terbuka yang lebih adil


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





ISKANDAR PUTERI, 12 Sept -- Kerajaan negeri hari ini menekankan pemerkasaan sistem perolehan secara tender terbuka yang diyakini lebih adil kepada semua pihak termasuk kontraktor Bumiputera yang mahu mendapatkan kontrak kerajaan.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata hal ini kerana kerajaan mahu memastikan pihak yang mendapat tender berkenaan mempunyai kelayakan dan mampu menyiapkan projek yang diberikan serta mengelakkan ruang-ruang berlaku ketirisan.

Katanya, namun hanya kes-kes tertentu yang memenuhi kriteria dan syarat yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan sahaja yang dibenarkan untuk dilaksana melalui kaedah rundingan.

Beliau, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata terdapat lima kriteria dan syarat utama bagi membolehkan kaedah rundingan terus dilakukan.

“Pertama, perolehan berkenaan yang mendesak dan perlu disegerakan, sekiranya perolehan tidak dibuat dengan segera maka ia akan memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan awam.

“Kedua, bagi memastikan kesesuaian penggunaan antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang akan dibeli, maka permohonan untuk membeli barangan yang sama secara rundingan terus boleh dipertimbangkan," kata beliau pada mesyuarat kedua penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di sini, hari ini.

Dr Sahrudin (PH-Bersatu) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis ADUN Larkin Mohd Izhar Ahmad (PH-PKR) tentang pendekatan yang diambil kerajaan negeri bagi mengurangkan risiko ketirisan melalui penawaran kontrak atau kerja secara terus.

Sementara itu,  Dr Sahruddin berkata, ketiga, terdapat beberapa kes perolehan yang hanya mempunyai satu punca bekalan atau perkhidmatan

"Ini bermaksud, pembelian khusus yang mana hanya terdapat satu syarikat sahaja yang dapat membekalkan barangan atau perkhidmatan yang dikehendaki seperti alat ganti dan lain-lain.

“Keempat, perolehan yang melibatkan alat-alat keselamatan atau projek tertentu yang strategik dan perlu dirahsiakan,” katanya.

Manakala kelima, dalam usaha memupuk pertumbuhan syarikat Bumiputera yang bertaraf pembuat, kerajaan negeri telah mengadakan tender khusus yang kepada pembuat berkenaan sahaja.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel