Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Marin rampas rokok kretek bernilai RM2.7 juta di Kota Tinggi


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





JOHOR BAHRU, 12 Sept -- Polis marin merampas 157,000 paket rokok kretek pelbagai jenis dipercayai rokok seludup bernilai RM2.7 juta selepas menyerbu sebuah lori tiga tan di laluan keluar hutan berhampiran pantai Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, awal pagi ini.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Supt Noor Azman Jamal berkata serbuan dilakukan pada kira-kira pukul 2.30 pagi semasa beberapa lelaki didapati sedang memasukkan kotak-kotak dipercayai mengandungi rokok tidak sah ke dalam lori berkenaan. 

Beliau berkata selepas menyedari kehadiran polis, kesemua lelaki itu melarikan diri ke dalam hutan berdekatan dan pihaknya kemudian merampas rokok-rokok itu bersama dengan lorinya sekali, semuanya dianggar bernilai RM2.79 juta.

"Kita percayai rokok-rokok ini diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan dijalankan sindiket dikenali sebagai Sindiket Tanjung Kelisa, yang mana ini kali ketiga kita rampas barangan mereka sejak tahun lepas," katanya kepada pemberita di markas PPM Wilayah 2, di sini, hari ini.

Katanya polis percaya sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menggunakan kain kanvas sebagai cara untuk menutupi kesan jejak kenderaan yang digunakan mengangkut kotak-kotak mengandungi rokok berkenaan dari pantai ke laluan utama.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.  

"PPM Wilayah 2 sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok tidah sah. Operasi terhadap penyeludupan dan penjualan rokok tidak sah ini akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa," kata beliau.

Sehingga akhir Ogos tahun ini, pihaknya telah merekodkan sebanyak 41 kes melibatkan rampasan rokok tidak sah dan minuman keras bernilai RM11.346 juta berbanding 30 kes melibatkan rampasan bernilai RM8.516 juta sepanjang tahun 2018.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel