Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes bayi maut disyaki akibat dera: Polis tahan reman ibunya


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





KEMAMAN, 12 Sept -- Ibu kepada seorang bayi yang maut dipercayai akibat didera semalam, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Muhd Tarmizie Nik Muhd Shukri bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata wanita yang berusia 27 tahun itu ditahan di kediamannya di Felda Neram, pada kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

"Suspek yang disyaki mengalami kemurungan akan turut dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, bayi itu dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Cheneh Baru oleh bapanya dalam keadaan lemah dan akhirnya meninggal dunia ketika diberi bantuan kecemasan.

Terdahulu wanita itu dikatakan berbaring di sebelah bayi berkenaan dan memberitahu suaminya bahawa dia telah menghantar anak mereka ke syurga.

Sementara itu, dalam kes berasingan Hanyan berkata, polis menahan dua lelaki yang memiliki pistol tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Mentok di sini malam hari Rabu.

Kedua-dua lelaki berusia 20 an itu ditahan pada pukul 10 malam tadi ketika sedang tidur setelah polis menerima maklumat daripada orang awam ekoran gerak geri mereka yang mencurigakan sejak tiga bulan lalu.

“Polis merampas sepucuk pistol tiruan beserta satu kelopak peluru dan sebuah televisyen berukuran 32 inci yang disyaki harta curi,” katanya dan menambah seorang daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kes kecurian. 

Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga 15 Sept ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel