Anjur lebih banyak program semai sifat cintakan negara
Tarikh kemaskini: 12/09/2019

LANGKAWI, 12 Sept -- Penganjuran program yang dapat menaikkan serta menyemai semangat cintakan negara perlu lebih banyak diadakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat.
Juhari yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah berkata acara yang melibatkan penyertaan masyarakat seperti mengibar Jalur Gemilang akan turut menyemarakkan sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 Sept ini.
"Saya difahamkan sepanjang konvoi ini kelab motosikal berkuasa tinggi, White Eagle Langkawi MC akan turut sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perjalanan mereka untuk menyertai Desaru International Bike Week, di Johor sekali gus dapat menyemarakkan sambutan Hari Malaysia
“Sememangnya kita menyambut baik acara-acara yang dapat menanam semangat cintakan negara,” kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan konvoi yang disertai 30 anggota White Eagle Langkawi MC, di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi White Eagle Langkawi MC, Hasmizan Hassan berkata acara konvoi yang merupakan pertama kali dianjurkan kelab motosikal itu bakal disertai anggotanya yang berusia antara 25 tahun hingga 60 tahun
"Anggota kelab yang menunggang pelbagai barisan model Harley-Davidson bakal menempuh perjalanan pergi dan balik kira-kira 2,000 kilometer. Esok seawal 7.30 pagi kami akan bergerak dari Kuala Perlis menuju Melaka sebelum meneruskan perjalanan untuk menyertai Desaru International Bike Week yang akan bermula esok hingga Isnin depan (13 hingga 16 Sept).
"Sepanjang perjalanan nanti kami akan turut mengibarkan Jalur Gemilang di samping mempromosi Langkawi sebagai pusat pelancongan,” katanya.
-- BERNAMA
|