Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gabung UMT, UniSZA perlu kajian menyeluruh - MB Terengganu


Tarikh kemaskini: 12/09/2019





KUALA TERENGGANU, 12 Sept -- Isu penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) perlu dikaji secara menyeluruh termasuk implikasi terhadap undang-undang dan geran penyelidikan yang telah diterima dari luar negara.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun kerajaan sudah membuat keputusan secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA, dan persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 Sept lepas, masih banyak perlu diperincikan terutama dalam memberi penjelasan kepada rakyat.

Beliau berkata pendapatnya bukanlah bermaksud menyokong mahupun membantah, tetapi lebih kepada cadangan supaya kerajaan menilai daripada pelbagai aspek bagi menjamin keputusan tersebut tidak akan memberi implikasi negatif kepada pihak terlibat.

“Memang menjadi hak kerajaan (pusat) untuk pecah atau gabung (universiti), itu hak kerajaan tetapi pada saya, mereka harus belajar tentang isu penggabungan di tempat lain termasuk di luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi 'Walk Through Bengkel projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade' di sini hari ini.

“Kriteria terpenting pada saya ialah seharusnya diperjelaskan kepada awam supaya tidak keliru. Ini merangkumi alasan apakah serta hujah penggabungan itu, apakah jenis penggabungan ini, adakah ia untuk menyelamatkan sesebuah institusi yang dalam keadaan teruk atau tujuan strategik,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata menerusi pembacaannya, terdapat kajian dilakukan Jabatan Pendidikan United Kingdom pada 2003 dan 2008 berhubung penggabungan universiti namun mereka merumuskan keputusan itu bukanlah yang terbaik.

“Saya tidak boleh kata wajar atau tidak wajar sebab ada pro dan kontra tetapi dalam konteks ini perlu dilihat antara UniSZA dan UMT. Ia juga akan melibatkan kos perundangan, kesan kepada pekerja dan nama universiti,” katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhimpun secara aman di Dewan Sultan Mizan, petang ini bagi menunjukkan bantahan terhadap cadangan penggabungan itu.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2018/219, Muhammad Hasyimi Hasyin Mohd Suddin, 22, berkata beliau mewakili kira-kira 10,000 pelajar UMT menentang penuh cadangan itu yang dikhuatiri akan menghilangkan identiti institusi berkenaan yang berfokus kepada ilmu kelautan.

"Kami mengadakan himpunan secara aman pada hari ini untuk mengumpul suara mahasiswa secara kolektif bagi memberi mesej kepada kementerian bahawa kami tidak bersetuju dan menolak secara total cadangan penggabungan itu," katanya ketika ditemui pemberita di majlis Himpunan Aman Tolak Penggabungan UMT-UniSZA di UMT hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Hasyimi Hasyim yang juga pelajar Tahun Tiga jurusan Kimia Analisis Persekitaran berkata pihak MPP bersama mahasiswa UMT akan terus memperjuangkan perkara itu sehinggalah suara mereka didengari.

"MPP dengan kerjasama Kesatuan Alumni MPP UMT (KAMU) telah melancarkan petisyen atas talian dan sehingga pukul 6 petang tadi hampir 10,000 mahasiswa dan alumni telah menandatanganinya.

Sementara itu, MPP UniSZA dalam satu kenyataan menyeru supaya pelajar tidak membuat spekulasi dan mengambil tindakan terburu-buru berhubung isu penggabungan kedua-dua institusi itu.

Presidennya Harun Osman berkata semua pihak perlu mendapatkan maklumat sahih malah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih dalam usaha menyediakan kerangka pelaksanaan dan pembentukan jawatankuasa penilai. 

"Oleh itu MPP percaya kajian secara mendalam akan dilakukan dan maklumat juga akan disampaikan kepada semua pihak berkepentingan termasuk MPP dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel