Identiti tiga mangsa rentung kemalangan Ogos lalu dikenal pasti
Tarikh kemaskini: 13/09/2019

TEMERLOH, 13 Sept -- Persoalan berhubung identiti tiga mangsa rentung pada kemalangan yang berlaku awal pagi 20 Ogos lepas, berhampiran stesen minyak di Triang, Bera dekat sini akhirnya terjawab hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata identiti itu diperoleh berdasarkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Forensik Petaling Jaya, Selangor yang diterima semalam.
Katanya mangsa ialah wanita tempatan Rosidah Hashim, 46, yang beralamat di Johor Bahru, Johor dan anaknya Abdillah Nila, 17, serta warga Pakistan Sher Zaman Khan, 35, yang merupakan suami kepada Rosidah.
"Ujian DNA mendapati waris mangsa yang memberikan sampel adalah waris yang sah kepada mangsa berdasarkan ujian terhadap spesimen tulang dan darah mangsa. Sehubungan itu, waris dibenarkan menuntut jenazah hari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kamarulzaman berkata bedah siasat ke atas tiga jenazah itu yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini pada 21 Ogos lepas mengesahkan semua mangsa maut kerana kebakaran teruk akibat kemalangan kenderaan.
Pada 20 Ogos, tiga individu ditemukan rentung di dalam sebuah kereta Proton Wira berwarna biru yang dipercayai terbakar selepas melanggar dua buah lori yang berada di laluan bertentangan, pada kejadian yang dipercayai berlaku 6.15 pagi.
Identiti mangsa bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti memandangkan semua dokumen peribadi mereka terbakar bersama-sama nombor pendaftaran kereta manakala nombor casisnya bengkok.
Polis juga mengalami kesukaran untuk mencari pemilik Proton Wira itu memandangkan pemilik asal di Selangor mendakwa kereta tersebut telah beberapa kali dijual tanpa menukar nama pada geran.
-- BERNAMA
|