Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UTeM jadi tuan rumah program Sentuhan Kasih Zon Selatan


Tarikh kemaskini: 13/09/2019





MELAKA, 13 Sept -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi Program Sentuhan Kasih@JPT 2019, Zon Selatan yang akan diadakan di Politeknik Mersing, Johor pada 19 Sept ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad berkata program itu bertujuan memberi pendedahan dan penerangan secara lebih jelas mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke Institut Pengajian Tinggi.

Beliau berkata UTeM selaku tuan rumah bagi Zon Selatan akan dibantu dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Mersing dan Politeknik Mersing.

“Kita harap program ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar terutamanya anak-anak kumpulan B40 di daerah Mersing dan sekitar yang bakal menduduki peperiksaan atau sedang mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran.

“Program ini juga berperanan berkongsi maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam dan institusi lain bagi sesi akademik 2020/2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata di samping itu juga, pihak UTeM turut mempromosikan program-program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran semasa.

“Selaku universiti awam teknikal, UTeM akan terus berperanan penting dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan teknologi dan yang terkini bidang Sarjana Muda Teknologi (BTech),” katanya.

Program Sentuhan Kasih merupakan usaha murni yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan universiti awam Malaysia di sembilan lokasi di seluruh negara bagi mendekati pelajar terutama daripada kumpulan B40.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel