Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tentera sanggup tolak tawaran komunis demi negara tercinta


Tarikh kemaskini: 13/09/2019





Oleh Rozainah Abdul Rahim

IPOH, 13 Sept -- Demi cintakan negara dan tidak sanggup mengkhianati tanah air, seorang anggota tentera sanggup menolak tawaran lumayan daripada gerakan komunis untuk menyertainya.

Menurut bekas Koperal Mohd Ramli Husin,80, kehebatan anggota tentera Malaysia tidak dapat dinafikan sehingga pihak komunis berusaha untuk mendapatkan khidmat serta kepakaran mereka.

"Gaji anggota tentera ketika itu kecil walaupun menggadaikan nyawa untuk keamanan dan keselamatan tanah air sebab itu komunis cuba mengumpan dengan tawaran lumayan.

“Saya akhirnya mengambil keputusan untuk bersara daripada tentera pada 1971 dan bekerja di Lembaga Padi Sabah selama dua tahun sebelum membuka perniagaan di Kota Kinabalu selama 10 tahun sebelum pulang ke Perak,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini. 

Mohd Ramli yang menyertai tentera pada 1961 semasa berumur 17 tahun berkata, ketika era perkhidmatannya anggota tentera yang bersara menerima bayaran sebanyak RM40 sebulan selama dua tahun dan ia perlu diambil di pejabat daerah.

"Ini adalah untuk tujuan pemantauan bagi memastikan mereka tidak melibatkan diri dengan komunis yang mencari bekas tentera yang mahir dalam komunikasi tentera, perubatan dan persenjataan," kata Mohd Ramli yang bersara pada umur 27 tahun.

Berkongsi lebih lanjut pengalaman selama 10 tahun dalam perkhidmatan, ayah kepada tujuh orang anak itu berkata beliau merupakan antara yang terselamat semasa konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia di Pulau Sebatik, Tawau, Sabah pada 1963 hingga 1966.

"Semasa pertempuran itu, 40 askar Melayu terkorban dan seramai 300 askar Indonesia berjaya kami tangkap dan serah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya 

Lebih membanggakan, Mohd Ramli berkata 'tuah' terselamat dalam pertempuran tersebut menyebabkan beliau digelar ‘hero’ semasa menyertai kursus senjata dan meriam selama enam bulan di School of Military di Wauru, New Zealand.

“Saya satu-satunya wakil askar Melayu dari Wauru yang dibawa ke sambutan Hari Malaysia di Wellington dan apabila saya berritahu saya baru sahaja terselamat dalam pertempuran itu, semua hadirin memberi penghormatan dan mula menggelar saya ‘hero’.

"Tentera kita amat disanjungi di negara luar dan saya berasa sedih apabila baru-baru ini terdengar ada pihak menyatakan tentera hanya tahu makan dan tidur walhal kami telah berkorban demi mempertahankan sempadan dan kedaulatan negara," katanya. 

Mohd Ramli juga merupakan antara bekas anggota keselamatan yang terlibat mempertahankan bumi Sabah daripada dibolosi Tentera Nasional Indonesia (TNI) semasa peristiwa hitam Kalabakan yang berlaku pada 29 Dis 1963, beberapa bulan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept.

Pada ketika itu, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Semenanjung, pasukan polis hutan, Sabah Home Guard dan penduduk kampung di sekitar Kalabakan berjuang bermati-matian mematahkan serangan penceroboh yang tidak berpuas hati dengan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.

Dalam perkongsian dengan Bernama, Mohd Ramli turut mengingatkan generasi hari ini supaya bersyukur kerana lahir dalam keadaan aman dan diwariskan sebuah negara selamat serta membangun tanpa perlu bimbang mengenai ancaman keselamatan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel