Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kompromi, tindakan tegas sebar isu perkauman, agama - Muhyiddin


Tarikh kemaskini: 13/09/2019





MUAR, 13 Sept -- Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan atau menyebar isu perkauman dan keagamaan melalui media sosial, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata perbuatan seumpama itu bukan sahaja akan memecahbelahkan perpaduan kaum, malah boleh memberi ancaman besar terhadap keselamatan negara.

“Saya mahu bagi amaran, saya bagitahu Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) jangan bagi amaran-amaran, jika sudah ada bukti yang cukup individu itu telah melanggar undang-undang hasut orang dan buat perkara tidak baik sehingga boleh menjahanamkan negara, kita tidak akan bagi kompromi walaupun orang Pagoh yang buat, kita akan ambil tindakan tegas.

“Ini kerana kita nak pastikan apa yang kita bina selama 62 tahun tidak diruntuhkan, dirosakkan dan dihancurkan,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Pagoh di Dataran Bukit Pasir, di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri mengarahkan semua sekolah di negeri ini menghadkan sementara aktiviti luar kelas, berikutan fenomena jerebu yang sedang melanda ketika ini.

Beliau berkata selain itu, masyarakat di negeri ini juga dinasihatkan agar sentiasa memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah selain elak melakukan pembakaran terbuka.

“Bagi individu yang ada alahan, atau mudah kena semput pastikan guna ‘mask’ ketika buat aktiviti luar. Kita juga tidak galakkan masyarakat untuk sementara membuat kegiatan atau aktiviti luar, termasuk sekolah,” katanya. 

Menurut laman web, Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), lima lokasi mencatatkan bacaan tidak sihat setakat 6 petang ini iaitu Tangkak merekodkan bacaan IPU 160, Segamat (133), Batu Pahat (118), Kluang (109) dan Larkin (106).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel