Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mora gembira JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia


Tarikh kemaskini: 14/09/2019





PETALING JAYA, 14 Sept  -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora gembira dengan persembahan pasukannya yang menang 3-2 menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dalam perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan JTD menempah tempat di peringkat suku akhir sebagai juara kumpulan B dengan memungut 13 mata selepas lima perlawanan dengan berbaki satu perlawanan lagi.

“Kami perlu menang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya dan kami semakin hampir. Kemenangan itu penting untuk kami, dan beberapa pemain kebangsaan kembali mempamerkan prestasi terbaik mereka.

"Ia adalah satu perlawanan yang sukar kerana PJ City FC mempunyai pemain yang sangat baik, dan mereka memberi saingan sengit, tetapi kami berjaya mengatasinya dan kami gembira dapat meraih tiga mata," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Mexico berusia 40 tahun  itu berkata beliau menjangkakan bakal berhadapan cabaran sukar pada peringkat suku akhir, tetapi yakin pemainnya mampu menggalas tugas itu.

Dalam pada itu, penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang meledak dua jaringan pada perlawanan berkenaan, mengakui beliau selesa beraksi di mana-mana posisi dalam skuad Harimau Selatan.

“Bagi saya, di mana-mana posisi yang diletakkan oleh jurulatih, itu adalah tanggungjawab saya dan saya akan lakukan yang terbaik, dan saya akan bekerja keras untuk setiap posisi yang diletakkan oleh jurulatih,” jelas pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu.

Beliau mengakui tidak berdepan masalah untuk beraksi dalam keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini, memandangkan sudah menghadapi situasi yang sama sebelum ini.

Sementara itu, pengendali PJ City FC, K. Devan masih enggan mengangkat ‘bendera putih’ dan yakin pasukannya masih berpeluang meraih tiket ke suku akhir Piala Malaysia.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya pada perlawanan ini, namun saya agak sedikit kecewa dengan keputusan perlawanan ini.

“Kita terpaksa mencatatkan kemenangan atau meraih keputusan seri berdepan PKNP FC pada perlawanan terakhir selepas ini, dan berdasarkan persembahan baik yang ditunjukkan pemain pada babak kedua perlawanan hari ini, saya yakin kita boleh melangkah ke peringkat suku akhir,” jelas Devan.

Pada aksi di Kelana Jaya, Muhammad Syafiq melakar dua jaringan pada minit ke-37 dan minit ke-60, selain jaringan seorang lagi pemain kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-24, manakala dua gol PJ City FC dihasilkan oleh Bae Beom-geun pada minit ke-10 dan Washington Brandao pada minit ke-58.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel